Terkini
Harga sayur di Melaka meningkat 10 hingga 20 peratus
KPDN Melaka mengesahkan berlaku kenaikan harga sayur antara 10% hingga 20% di negeri itu ekoran hujan selain permintaan tinggi.
- Peratus kenaikan harga sayur-sayuran berkenaan berbeza ikut kawasan dan rata-rata pemeriksaan dijalankan mendapati harga di Jasin lebih murah berbanding Melaka Tengah dan Alor Gajah. – Pengarah KPDN Melaka, Norena Jaafar
- “Antara sayur meningkat harga ialah timun, sawi, tomato dan kubis dengan 80 peratus bekalan di negeri itu diperoleh dari pembekal atau pengusaha tanaman dari luar seperti Cameron Highlands, Pahang.”
- “Berdasarkan pemeriksaan berkala anggota penguatkuasa KPDN, memang berlaku kenaikan harga sayur-sayuran di kebanyakan pasar atau premis jualan namun tidak ketara dan situasi ini berlaku setiap tahun susulan musim hujan.”
- “Selain pemeriksaan di premis jualan, KPDN Melaka akan lakukan tinjauan serta pertemuan dengan pengusaha tanaman di Cameron Highlands bagi dapatkan maklumat lanjut berhubung situasi tersebut dalam masa terdekat,” katanya.
MELAKA, 6 Feb (Bernama) — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka mengesahkan berlaku kenaikan harga sayur antara 10 hingga 20 peratus di negeri itu ekoran hujan selain permintaan tinggi terutama menjelang musim perayaan.
Pengarahnya Norena Jaafar berkata, bagaimanapun peratus kenaikan harga sayur-sayuran berkenaan berbeza mengikut kawasan dan rata-rata pemeriksaan dijalankan mendapati harga di Jasin lebih murah berbanding Melaka Tengah dan Alor Gajah.
Beliau berkata, antara sayur yang meningkat harga ialah timun, sawi, tomato dan kubis dengan 80 peratus bekalan di negeri itu diperoleh daripada pembekal atau pengusaha tanaman dari luar seperti Cameron Highlands, Pahang.
“Berdasarkan pemeriksaan berkala oleh anggota penguatkuasa KPDN, memang berlaku kenaikan harga sayur-sayuran di kebanyakan pasar atau premis jualan namun tidak ketara dan situasi ini berlaku setiap tahun susulan musim hujan.
“Bagaimanapun KPDN sedang memantau pergerakan kenaikan harga berkenaan dan pemeriksaan turut melibatkan rangkaian pemborong untuk mengesan di peringkat mana kenaikan berlaku,” katanya kepada pemberita selepas Sesi Pengenalan Program Menu Rahmah di sini pada Isnin.
Beliau berkata, selain pemeriksaan di premis jualan, KPDN Melaka juga akan melakukan tinjauan serta pertemuan dengan pengusaha tanaman di Cameron Highlands bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung situasi tersebut dalam masa terdekat.
Dalam perkembangan lain, Norena berkata, setakat ini kira-kira 25 peniaga makanan di Melaka bersetuju untuk menyertai Program Menu Rahmah termasuk Restoran Asam Pedas Selera Kampung di Plaza Mahkota di Banda Hilir di sini.
Beliau berkata KPDN Melaka sedang melaksanakan sesi penerangan berkaitan Menu Rahmah kepada pengusaha dan peniaga makanan di negeri itu termasuk empat persatuan iaitu Persatuan Peniaga Muslim Malaysia dan Persatuan Tomyam Malaysia agar mereka mendapat maklumat mengenai pelaksanaan tersebut.
“Kebanyakan peniaga masih kurang jelas tentang Menu Rahmah terutama membabitkan aspek pelaksanaan dan jenis menunya. Mereka ingat menu berkenaan perlu ditawarkan kepada pelanggan setiap hari pada waktu tengah hari dan malam tetapi mereka boleh pilih satu daripadanya.
“Sebaliknya Menu Rahmah bergantung kepada kemampuan peniaga sendiri dan seperti Restoran Asam Pedas Selera Kampung, mereka menawarkan menu berkenaan setiap Isnin dan Khamis sahaja,” katanya.
Menurut Norena KPDN tidak meletakkan sebarang sasaran jumlah peniaga menyertai program tersebut sebaliknya berharap setiap kawasan mempunyai satu peniaga yang menawarkan inisiatif itu. – BERNAMA
Sumber: BERNAMA