Terkini
Pusat lindungi mangsa pemerdagangan perlu diwujudkan – KDN
Pusat melindungi mangsa pemerdagangan orang perlu diwujudkan susulan kes itu bertambah serius dan menjadi punca utama kebimbangan di peringkat global, kata Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
- Sudah tiba masanya pusat itu diwujudkan bagi menyokong dan melindungi mangsa yang terselamat daripada jenayah kejam itu. – Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz
- “Dengan mengambil kira keperluan khas wanita dan kanak-kanak adalah penting untuk mereka diberi perlindungan termasuk sokongan moral.”
- “Ia melibatkan pencabulan hak asasi manusia melalui pergerakan rentas sempadan atau domestik bagi tujuan eksploitasi, selain menjadi perniagaan menguntungkan sindiket melibatkan sejumlah besar wang yang boleh menghalang pembangunan masyarakat, sama ada dari segi sosial atau ekonomi.
- “Oleh itu kita perlu menyediakan perkhidmatan trauma berpusat kepada mangsa yang terselamat bagi menyokong dan melindungi mangsa (pemerdagangan orang),” katanya.
PETALING JAYA: Pusat melindungi mangsa pemerdagangan orang perlu diwujudkan susulan kes itu bertambah serius dan menjadi punca utama kebimbangan di peringkat global, kata Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Beliau berkata, sudah tiba masanya pusat itu diwujudkan bagi menyokong dan melindungi mangsa yang terselamat daripada jenayah kejam itu.
Jelas beliau, pada ketika itu, perlindungan, kaunseling, bantuan perubatan, psikologi dan material perlu disediakan untuk mangsa pemerdagangan orang.
“Dengan mengambil kira keperluan khas wanita dan kanak-kanak adalah penting untuk mereka diberi perlindungan termasuk sokongan moral,” katanya menurut Bernama.
Beliau yang juga pengerusi Majlis Antipemerdagangan Orang (TIP) dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) berkata, keseriusan kes pemerdagangan orang secara amnya merupakan isu utama yang menjadi perhatian dan perbincangan antarabangsa.
“Ia melibatkan pencabulan hak asasi manusia melalui pergerakan rentas sempadan atau domestik bagi tujuan eksploitasi, selain menjadi perniagaan menguntungkan sindiket melibatkan sejumlah besar wang yang boleh menghalang pembangunan masyarakat, sama ada dari segi sosial atau ekonomi.
“Oleh itu kita perlu menyediakan perkhidmatan trauma berpusat kepada mangsa yang terselamat bagi menyokong dan melindungi mangsa (pemerdagangan orang),” katanya ketika berucap merasmikan Seminar Pembinaan Kapasiti mengenai Pencegahan dan Perlindungan TIP di sini yang disokong sepenuhnya dan dibiayai oleh Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Setiausaha, Pejabat Strategik Negara kepada MAPO di bawah KDN, Syuhaida Abdul Wahab Zen.
Sementara itu, Duta Amerika Syarikat ke Malaysia Brian McFeeters dalam ucapan khasnya pada majlis itu berkata, TIP berlaku di seluruh dunia dan mangsa boleh ditemukan di setiap negara termasuk Malaysia dan AS, dengan itu, ia memerlukan respons antipemerdagangan yang diselaraskan di semua peringkat.
“Di kedutaan AS, kami menyedari bahawa tindak balas antipemerdagangan yang berkesan memerlukan penyelarasan dan kerjasama dan kami komited sepenuhnya untuk menyokong kerajaan Malaysia dan pihak berkepentingan lain yang berkaitan untuk menghentikan ancaman ini.
“Kami terus membiayai program dan kempen yang tertumpu pada pencegahan, perlindungan dan pendakwaan kes pemerdagangan orang untuk menyokong dan memajukan usaha antipemerdagangan orang di Malaysia,” katanya.
Sumber: FreeMalaysiaToday