Connect with us

Terkini

Pembiayaan usahawan mesti berasaskan merit, bukan hubungan politik – Pakar

Published

on

Foto: Gambar Sekadar Hiasan.
  • Penyandang Kursi Pengajian Malaysia di Victoria University of Wellington, New Zealand Profesor Dr Kartini Aboo Talib @ Khalid berkata langkah itu bukan sekadar teguran pentadbiran, sebaliknya mencerminkan usaha menyusun semula budaya kuasa dalam birokrasi dan parti politik.
  • Sementara itu, pakar ekonomi Prof Barjoyai Bardai berkata dari sudut ekonomi, pembiayaan usahawan hanya akan memberi pulangan maksimum kepada negara, sekiranya disalurkan kepada projek yang paling berdaya maju.
  • Dalam pada itu, Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Norsyahrin Hamidon berkata pembiayaan kepada usahawan yang tidak serius, boleh menyebabkan kitaran ekonomi tidak berlaku sepenuhnya.

KUALA LUMPUR — Langkah menghentikan amalan surat sokongan dalam urusan meluluskan pembiayaan usahawan, dilihat sebagai isyarat jelas bahawa kerajaan berhasrat memutuskan hubungan antara pengaruh politik dan kronisme dalam ekosistem pembiayaan usahawan Bumiputera.

Penyandang Kursi Pengajian Malaysia di Victoria University of Wellington, New Zealand Profesor Dr Kartini Aboo Talib @ Khalid berkata langkah itu bukan sekadar teguran pentadbiran, sebaliknya mencerminkan usaha menyusun semula budaya kuasa dalam birokrasi dan parti politik.

Beliau yang juga pakar dasar awam berkata kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu turut berperanan sebagai komunikasi awam, bagi menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam menangani ketirisan dan memperkukuh tadbir urus.

“Dalam konteks ekonomi yang mencabar, mesej seperti ini membantu membina keyakinan bahawa dana awam diurus secara lebih bertanggungjawab,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Kartini berkata arahan Perdana Menteri itu hanya akan memberi kesan, sekiranya perubahan dilaksanakan secara menyeluruh melibatkan budaya kerja, sistem dan insentif dalam institusi berkaitan.

“Ini bukan sekadar larangan terhadap amalan surat sokongan, sebaliknya merupakan satu reformasi struktur untuk memutuskan budaya patronage politik serta mengembalikan integriti dalam ekosistem pembiayaan usahawan,” katanya.

Sementara itu, pakar ekonomi Prof Barjoyai Bardai berkata dari sudut ekonomi, pembiayaan usahawan hanya akan memberi pulangan maksimum kepada negara, sekiranya disalurkan kepada projek yang paling berdaya maju.

Beliau berkata kelulusan pembiayaan yang dipengaruhi surat sokongan, kronisme atau hubungan politik, boleh menyebabkan berlakunya salah agihan sumber apabila modal tidak sampai kepada usahawan yang benar-benar berpotensi.

“Akibatnya, kadar kegagalan pembiayaan boleh meningkat, produktiviti perusahaan merosot dan pulangan terhadap dana awam menjadi lebih rendah,” katanya.

Provos dan Dekan Institut Pengajian Siswazah Universiti Sains dan Teknologi Malaysia itu turut berkata dalam jangka panjang, amalan sedemikian juga boleh melemahkan daya saing ekonomi kerana usahawan yang kompeten tetapi tidak mempunyai akses kepada pihak tertentu berisiko tercicir.

Sehubungan dengan itu, beliau mencadangkan supaya kelulusan pembiayaan dibuat berdasarkan merit, daya maju model perniagaan, keupayaan pengurusan dan rekod kewangan bagi memperkukuh ekosistem keusahawanan negara.

“Dalam keadaan fiskal negara yang semakin mencabar, setiap ringgit dana pembiayaan perlu menghasilkan impak ekonomi yang optimum. Justeru, sistem penilaian yang bebas, telus dan berasaskan merit bukan sekadar isu tadbir urus yang baik, tetapi juga satu keperluan ekonomi,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Norsyahrin Hamidon berkata pembiayaan kepada usahawan yang tidak serius, boleh menyebabkan kitaran ekonomi tidak berlaku sepenuhnya.

Beliau berkata keadaan itu berlaku apabila perniagaan atau projek yang diperoleh hanya diserahkan sepenuhnya kepada pihak tertentu sekali gus tidak memberi nilai tambah kepada ekonomi.

“Apabila usahawan benar-benar menjalankan perniagaan atau projek itu sendiri, pembiayaan yang diterima akan digunakan untuk mengembangkan operasi, mengambil pekerja dan menjana pendapatan.

“Namun, jika projek itu hanya diserahkan sepenuhnya kepada pihak tertentu, manfaat ekonomi seperti penciptaan pekerjaan, peningkatan kemahiran dan perbelanjaan semula dalam pasaran tidak berlaku sepenuhnya,” katanya.

— BERNAMA

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author