Terkini
Kes rasuah RM11.6 juta: Mahkamah tolak rayuan Guan Eng, Perbicaraan diteruskan
- Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, isterinya, Betty Chew serta seorang ahli perniagaan, Phang Li Koon untuk membatalkan pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapi mereka berhubung projek asrama pekerja asing bernilai RM11.6 juta.
- Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh panel tiga hakim yang diketuai Datuk Azman Abdullah bersama Datuk Noorin Badaruddin dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid.
PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, isterinya, Betty Chew serta seorang ahli perniagaan, Phang Li Koon untuk membatalkan pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapi mereka berhubung projek asrama pekerja asing bernilai RM11.6 juta.
Laporan Berita Harian menyatakan, keputusan sebulat suara itu dibuat oleh panel tiga hakim yang diketuai Datuk Azman Abdullah bersama Datuk Noorin Badaruddin dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid.
Susulan keputusan Mahkamah Rayuan itu, pertuduhan yang dihadapi ketiga-tiga mereka kekal dan kes akan diteruskan ke peringkat perbicaraan.
Terdahulu, ketiga-tiga mereka mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang pada 3 Mei 2024 menolak permohonan mereka untuk membatalkan pertuduhan berkenaan.
Dalam penghakiman sebelum ini, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa prinsip double jeopardy atau seseorang tidak boleh dibicarakan dua kali bagi kesalahan yang sama tidak terpakai dalam kes tersebut.
Mahkamah turut mendapati syarat-syarat yang diperlukan di bawah peruntukan undang-undang berkaitan tidak dipenuhi bagi membolehkan prinsip berkenaan digunakan untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapi mereka.-The Merdeka Times