Terkini
Dakwaan ‘Pintu Belakang’ disangkal, Saluran terbuka tertakluk syarat, Senat, MQA dan KPT
- Pengerusi Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam, Prof. Datuk Dr. Mad Amin Mat Taib berkata saluran terbuka tidak pernah mengambil tempat atau kuota kemasukan melalui Unit Pusat Universiti (UPU), malah pelaksanaan saluran itu tidak dibenarkan menjejaskan pengambilan pelajar melalui saluran perdana.
- Mengulas persepsi bahawa saluran terbuka memberi kelebihan kepada golongan tertentu, Mad Amin menegaskan semua calon tetap perlu memenuhi syarat kemasukan yang ditetapkan, termasuk syarat akademik dan syarat badan profesional bagi program berkaitan.
- “Kalau anak saya pun tak cukup syarat, dia tak boleh masuk program,” katanya ketika menjelaskan bahawa saluran terbuka bukan laluan yang mengetepikan kelayakan akademik.
BANGI — Dakwaan bahawa saluran terbuka merupakan “pintu belakang” ke universiti awam dibincangkan secara terbuka dalam Forum Bicara Persada anjuran Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM), apabila panel menjelaskan bahawa mekanisme tersebut masih tertakluk kepada pelbagai syarat akademik serta proses kelulusan dan kawal selia.
Pengerusi Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam, Prof. Datuk Dr. Mad Amin Mat Taib berkata saluran terbuka tidak pernah mengambil tempat atau kuota kemasukan melalui Unit Pusat Universiti (UPU), malah pelaksanaan saluran itu tidak dibenarkan menjejaskan pengambilan pelajar melalui saluran perdana.
Menurut beliau, setiap program yang ditawarkan melalui saluran terbuka perlu melalui proses kelulusan di peringkat fakulti, senat universiti dan lembaga pengarah universiti sebelum memperoleh kelulusan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Beliau turut menjelaskan bahawa pelaksanaan saluran terbuka dipantau oleh Bahagian Inspektorat KPT, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) serta badan profesional berkaitan bagi memastikan standard akademik terus dipatuhi.
Mengulas persepsi bahawa saluran terbuka memberi kelebihan kepada golongan tertentu, Mad Amin menegaskan semua calon tetap perlu memenuhi syarat kemasukan yang ditetapkan, termasuk syarat akademik dan syarat badan profesional bagi program berkaitan.
“Kalau anak saya pun tak cukup syarat, dia tak boleh masuk program,” katanya ketika menjelaskan bahawa saluran terbuka bukan laluan yang mengetepikan kelayakan akademik.
Sementara itu, Prof. Emeritus Datuk Dr. Raduan Che Rose daripada Majlis Profesor Negara berkata fungsi UPU adalah menyelaras kemasukan pelajar ke universiti awam dan bukannya menentukan kuasa akademik universiti.
Beliau berkata kuasa menerima pelajar masih kekal di bawah senat universiti, manakala kawalan terhadap kualiti akademik terus dilaksanakan melalui mekanisme sedia ada.
Dalam pada itu, Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM), Prof. Tan Sri Datuk Seri Dr. Noor Azlan Ghazali turut mengingatkan bahawa universiti tidak boleh melaksanakan sebarang pendekatan yang menjejaskan fungsi terasnya sebagai institusi pendidikan.
Beliau menegaskan sebarang usaha universiti menjana pendapatan, termasuk melalui saluran terbuka, tidak boleh mengorbankan akses kepada pendidikan atau menjejaskan kualiti akademik kerana universiti masih tertakluk kepada pemantauan MQA serta badan profesional.-The Merdeka Times