Connect with us

Terkini

Raja bukan sekadar formaliti, Titah Sultan Selangor selari raja berperlembagaan

Published

on

Foto: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
  • Menurut kenyataan Ahli-ahli Dewan di-Raja Selangor, titah Sultan bukan sekadar ucapan rasmi, tetapi merupakan bentuk nasihat bagi memastikan setiap tindakan kerajaan negeri bertepatan dengan Perlembagaan Persekutuan serta Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.
  • “Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan adalah bagi memastikan segala tindakan Kerajaan Negeri bertepatan dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dengan mengambil kira kepentingan dan kesejahteraan rakyat dalam pemerintahannya,” menurut kenyataan itu.

KUALA LUMPUR — Ahli-ahli Dewan di-Raja Selangor menegaskan bahawa Sultan Selangor tidak boleh dianggap sekadar ‘rubber stamp’ dalam sistem Raja Berperlembagaan, sebaliknya Baginda mempunyai tanggungjawab untuk menegur dan memastikan pentadbiran kerajaan negeri sentiasa memelihara kepentingan rakyat.

Penegasan itu dibuat susulan kritikan sebahagian pemimpin politik dan pihak tertentu yang mendakwa Titah Sultan Selangor sempena Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-15 pada 20 April lalu telah mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri serta melanggar konsep Raja Berperlembagaan.

Dalam satu kenyataan, Ahli-ahli Dewan di-Raja Selangor berkata tanggapan tersebut adalah satu persepsi yang salah dan perlu diperbetulkan kerana titah Baginda sebenarnya selari dengan peranan seorang Raja dalam sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan.

Menurut kenyataan itu, titah Sultan bukan sekadar ucapan rasmi, tetapi merupakan bentuk nasihat bagi memastikan setiap tindakan kerajaan negeri bertepatan dengan Perlembagaan Persekutuan serta Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

“Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan adalah bagi memastikan segala tindakan Kerajaan Negeri bertepatan dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dengan mengambil kira kepentingan dan kesejahteraan rakyat dalam pemerintahannya,” menurut kenyataan itu.

Ahli-ahli Dewan di-Raja Selangor turut menjelaskan bahawa Menteri Besar Selangor sememangnya dikehendaki berunding dengan Sultan dalam urusan pentadbiran negeri yang melibatkan kepentingan rakyat.

Menurut mereka, rundingan itu bermaksud Sultan mempunyai hak untuk diberi sembah maklum mengenai urusan pentadbiran negeri supaya Baginda dapat mengetahui perkembangan semasa serta memberi pandangan dan nasihat sebelum sesuatu keputusan dimuktamadkan.

“Pandangan dan nasihat Duli Yang Maha Mulia Sultan adalah berdasarkan kepentingan rakyat tanpa dipengaruhi oleh kepentingan politik.

“Sebarang nasihat, teguran dan peringatan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor merupakan nasihat penting daripada seorang Raja bagi memastikan pentadbiran negeri dijalankan dengan penuh tanggungjawab,” jelas kenyataan itu lagi.

Malah, Ahli-ahli Dewan di-Raja Selangor memaklumkan Sultan Selangor turut kerap menerima aduan rakyat berkaitan masalah banjir, kutipan sampah, jalan berlubang dan isu-isu lain yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat di negeri itu.

Menurut mereka, aduan tersebut bukan surat layang kerana pengadu turut menyertakan identiti lengkap termasuk nama, alamat dan nombor telefon sebagai bukti mereka benar-benar berharap Sultan menegur kerajaan negeri berhubung kesulitan yang dihadapi.

“Berdasarkan prinsip Raja Berperlembagaan, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor tidak mahu bertindak sebagai ‘rubber stamp’ atau sekadar formaliti dalam melaksanakan fungsi Baginda sebagai Sultan.

“Baginda bertindak sebagai kuasa semak dan imbang terhadap pihak eksekutif untuk memastikan kepentingan rakyat sentiasa terjaga dan terpelihara,” menurut kenyataan tersebut.

Tambah mereka, Sultan Selangor yang telah memerintah selama 25 tahun sebagai Sultan dan 33 tahun sebagai Raja Muda amat memahami peranan Baginda selaras dengan undang-undang serta sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara ini. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author