Terkini
Laporan Rain Rave 2026 ‘cacat’ dari segi metodologi
- Profesor Ekonomi Pelancongan dari Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan UiTM, Dr. Mohd Hafiz Hanafiah mendedahkan, penelitian peribadi beliau terhadap tiga dakwaan khusus dalam laporan tersebut menunjukkan kelemahan fundamental yang menjejaskan kesahihan angka yang dibentangkan.
- Menurut Mohd Hafiz, ralat pertama melibatkan komponen ‘jualan tiket’ yang dianggarkan berjumlah RM55 juta hingga RM70 juta, sedangkan festival tersebut merupakan acara kemasukan percuma.
- Selain itu, beliau turut mengkritik ralat metodologi kedua yang mencampuradukkan angka penghunian hotel seluruh negara dengan permintaan festival.
KUALA LUMPUR – Laporan impak ekonomi Festival Muzik Air Rain Rave 2026 yang mendakwa program itu menjana keuntungan melebihi RM200 juta didapati mempunyai kecacatan dari segi metodologi.
Profesor Ekonomi Pelancongan dari Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan UiTM, Dr. Mohd Hafiz Hanafiah mendedahkan, penelitian peribadi beliau terhadap tiga dakwaan khusus dalam laporan tersebut menunjukkan kelemahan fundamental yang menjejaskan kesahihan angka yang dibentangkan.
Menurut Mohd Hafiz, ralat pertama melibatkan komponen ‘jualan tiket’ yang dianggarkan berjumlah RM55 juta hingga RM70 juta, sedangkan festival tersebut merupakan acara kemasukan percuma.
Beliau menegaskan bahawa mengaitkan hasil kepada jualan tiket bagi acara tanpa bayaran masuk adalah tidak betul dari segi fakta, malah Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) sendiri mengesahkan ketiadaan pulangan komersial daripada aspek tersebut.
Selain itu, beliau turut mengkritik ralat metodologi kedua yang mencampuradukkan angka penghunian hotel seluruh negara dengan permintaan festival.
“Acara tersebut berlangsung di Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Mendakwa bahawa kadar penghunian hotel yang tinggi di Pulau Pinang, Johor Bahru, atau Kedah disebabkan oleh sebuah festival di KL adalah menyalahi logik asas.
“Mungkin mereka sedang melancong atas sebab-sebab lain, berkemungkinan besar kerana ia merupakan cuti hujung minggu panjang sempena Hari Buruh,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menekankan kepentingan analisis kontrafaktual untuk menguji sama ada perbelanjaan tersebut tetap akan berlaku tanpa penganjuran acara itu.
Menurutnya, kecacatan ketiga yang bersifat kritikal adalah ketiadaan analisis yang menolak kos pembiayaan kerajaan daripada jumlah impak keseluruhan.
Mohd Hafiz menjelaskan bahawa melaporkan angka kasar tanpa mengambil kira perbelanjaan awam untuk artis, infrastruktur dan keselamatan adalah mengelirukan.
Beliau memberikan analogi mudah bahawa sekiranya kerajaan membelanjakan RM50 juta untuk menjana aktiviti ekonomi RM80 juta, manfaat bersih sebenarnya adalah RM30 juta, bukannya RM80 juta.
“Walaupun acara awam berskala besar, terutamanya di pusat bandar Kuala Lumpur, sememangnya menjana perbelanjaan sebenar merentasi sektor runcit, makanan, pengangkutan, dan hospitaliti, namun metodologi khusus yang digunakan untuk mencapai angka tersebut mengandungi sekurang-kurangnya tiga ralat signifikan yang memerlukan huraian teknikal lanjut,” katanya.
Media baru-baru ini melaporkan, festival tersebut dianggarkan menarik 180,000 pengunjung dan menjana sehingga RM200 juta hasil keseluruhan pelancongan, menurut sebuah persatuan pelancongan tempatan.
Presiden Persatuan Pelancongan Dalam Negeri Malaysia (Mita), Mint Leong berkata, festival yang berlangsung dari 30 April hingga 2 Mei itu turut mencatat 1.4 bilion klik di platform media sosial global.
Leong berkata, angka anggaran oleh persatuannya turut melepasi “garis panduan pihak ketiga” awal untuk pemain industri, yang menyasarkan 80,000 kehadiran dan perbelanjaan di lokasi antara RM55 juta hingga RM70 juta. – The Merdeka Times