Terkini
Minit mesyuarat tular, arahan hadkan operasi surau di kawasan kediaman, perlu tamat jam 5 petang
- Dokumen tersebut, yang menyenaraikan tujuh agenda utama, tular berikutan syarat-syarat ketat yang dikenakan terhadap aktiviti keagamaan di premis tersebut termasuk arahan supaya operasi surau ditamatkan sepenuhnya pada jam 5 petang setiap hari.
- Antara perkara yang turut disebut dalam minit tersebut adalah pembatalan semua aktiviti awam di surau berkenaan, termasuk cadangan agar aktiviti tersebut dipindahkan ke masjid berdekatan atau tempat lain yang lebih sesuai.
- Selain itu, jawatankuasa terbabit turut mengarahkan supaya pembesar suara besar dipindahkan ke tempat lebih sesuai dan tidak tidak digunakan terlalu dekat dengan bilik tidur penduduk.
KUALA LUMPUR – Satu dokumen minit mesyuarat dipercayai melibatkan Jawatankuasa Penduduk Taman Seraya/Muda yang tular telah mencetuskan perdebatan di media sosial selepas ia memaparkan beberapa ketetapan membabitkan operasi sebuah surau di kawasan perumahan berkenaan.
Dokumen tersebut, yang menyenaraikan tujuh agenda utama, tular berikutan syarat-syarat yang dikenakan terhadap aktiviti keagamaan di premis tersebut termasuk arahan supaya operasi surau ditamatkan sepenuhnya pada jam 5 petang setiap hari.
Antara perkara yang turut disebut dalam minit tersebut adalah pembatalan semua aktiviti awam di surau berkenaan, termasuk cadangan agar aktiviti tersebut dipindahkan ke masjid berdekatan atau tempat lain yang lebih sesuai.
“Tidak menggunakan speaker-speaker (pembesar suara) besar di dalam kediaman kami (yang terlalu dekat dengan bilik-bilik tidur penduduk.
“Tutup lampu-lampu terang yang menghala ke rumah-rumah penduduk,” tulis dokumen tersebut.
Dokumen itu turut menegaskan larangan membawa masuk orang asing atau individu luar ke dalam kawasan kediaman tersebut.
Berdasarkan dokumen tersebut, peraturan-peraturan kediaman berkenaan telah dipatuhi oleh pengerusi dan ahli jawatankuasa surau berkenaan.
Ia turut menyatakan bahawa peraturan-peraturan kediaman berkenaan telah dibahaskan dan dipersetujui oleh semua pihak.
Agenda ketujuh dalam dokumen itu memaklumkan bahawa peraturan dan dokumen undang-undang telah ditandatangani oleh pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Jabatan Agama Islam Selangor Daerah Hulu Langat, peguam, komiti Taman Seraya dan pengerusi surau Seraya, sekali gus dikuatkuasakan serta-merta.
Menjenguk pandangan di media sosial, ada kalangan warganet yang mempersoalkan kewajaran mengehadkan waktu operasi rumah ibadat yang secara tidak langsung dilihat menghalang pelaksanaan solat fardu berjemaah seperti Maghrib dan Isyak.
“Operasi surau tamat 5 petang maknanya Maghrib dan Isyak tidak dibenarkan di surau?” soal seorang pengguna di laman Threads.
Seorang lagi pengguna media sosial berkata dia terkejut dengan dakwaan tidak boleh menunaikan solat Maghrib dan Ishak di surau.
“Yang lain itu aku tidak terkejut sangat. Tapi tak boleh solat Maghrib dan Isyak di surau itu yang paling aku terkejut,” katanya. – The Merdeka Times