Terkini
Isu penternakan babi: Guan Eng pertahan Siew Ki, bidas PAS, kesal dengan UMNO
- Lim Guan Eng menegaskan, ADUN dari DAP itu tidak mengelirukan dewan mahupun membuat kenyataan palsu sebaliknya hanya melaksanakan hak untuk menyampaikan pendapat penduduk di kawasannya.
- Ahli Parlimen Bagan itu turut menyelar tindakan PAS dan Perikatan Nasional (PN) yang didakwa sengaja menyemarakkan sentimen serta melemparkan tuduhan ‘derhaka’ terhadap Siew Ki.
- Guan Eng turut melahirkan kekesalan terhadap rakan sekutu Pakatan Harapan (PH) dalam kerajaan, iaitu UMNO yang dilihat mengambil pendirian senada dengan PAS dalam isu tersebut.
KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Guan Eng tampil mempertahankan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki, yang mencadangkan kerajaan negeri agar mempertimbangkan semula pendekatan terhadap penternakan babi di negeri itu.
Guan Eng menegaskan, ADUN dari DAP itu tidak mengelirukan dewan mahupun membuat kenyataan palsu sebaliknya hanya melaksanakan hak untuk menyampaikan pendapat penduduk di kawasannya.
Dalam masa sama, Ahli Parlimen Bagan itu turut menyelar tindakan PAS dan Perikatan Nasional (PN) yang didakwa sengaja menyemarakkan sentimen serta melemparkan tuduhan ‘derhaka’ terhadap Siew Ki.
Guan Eng turut melahirkan kekesalan terhadap rakan sekutu Pakatan Harapan (PH) dalam kerajaan, iaitu UMNO yang dilihat mengambil pendirian senada dengan PAS dalam isu tersebut.
“Wong tidak mengelirukan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor mahupun membuat sebarang kenyataan palsu mengenai Sultan Selangor.
“Semakan terhadap ucapannya di DUN Selangor pada 22 April menunjukkan bahawa Wong sekadar melaksanakan haknya untuk menyampaikan pendapat konstituennya dengan mencadangkan pertimbangan semula cara industri babi diuruskan,” katanya dalam satu kenyataan.
Isu penternakan babi di Selangor kembali hangat baru-baru ini apabila Siew Ki membangkitkan hujah bahawa perkara tersebut menyentuh hak kesamarataan warganegara seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, isu penternakan babi tidak seharusnya dilihat secara berbeza berbanding ternakan lain, malah perlu dinilai dalam kerangka hak sama rata di bawah undang-undang.
Menurut Siew Ki, penternakan babi tidak seharusnya dibezakan daripada penternakan haiwan yang lain kerana mendakwa risiko pencemaran, aspek kebersihan serta kesihatan dalam penternakan babi adalah sama seperti yang dihadapi penternakan haiwan yang lain.
Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, PAS tidak seharusnya menuduh Wong sebagai derhaka kerana membangkitkan isu tersebut memandangkan beliau tidak mempersoal mahupun membuat sebarang pendustaan terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Beliau mendakwa, ini berbeza sama sekali dengan seorang Menteri PAS sebelum ini yang telah mengelirukan Parlimen dengan mengumumkan bahawa kerajaan PN ketika itu telah membatalkan semua Ordinan Darurat (EO) berkuat kuasa 21 Julai.
Jelas beliau, Istana Negara pada 29 Julai 2021 telah mengeluarkan teguran diraja bagi menzahirkan rasa ‘amat dukacita’ Yang di-Pertuan Agong atas pengumuman menteri PAS terbabit yang tidak benar kerana Seri Paduka Baginda belum memberi perkenan terhadap pembatalan itu.
Jika PAS konsisten dan bertanggungjawab, ujar Guan Eng, mereka sepatutnya mengambil tindakan terhadap Menteri PAS yang ditegur oleh Agong pada tahun 2021.
Sebaliknya, tegasnya, PAS mengamalkan sikap ‘talam dua muka’ dengan menyasarkan seorang ADUN wanita muda Selangor hanya kerana beliau melaksanakan haknya untuk menyatakan pandangan secara rasmi di DUN Selangor.
“Wong dengan tegas menyatakan bahawa beliau tidak akan berundur meskipun berdepan ancaman dan demonstrasi ahli-ahli PAS di luar pusat khidmatnya.
“Beliau bukan sahaja akan mendapat sokongan daripada ahli-ahli DAP di dalam dan di luar Selangor, malah daripada orang awam atas usahanya menjalankan tugas rasmi sebagai wakil rakyat yang dipilih,” katanya. – The Merdeka Times