Connect with us

Terkini

Babi hasilkan sisa buangan lebih pekat, tingkatkan risiko pencemaran sumber air, impak bau

Published

on

Foto: Pensyarah Kanan Pusat Kajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaraan (SEEDS) UKM, Dr Zurinah Tahir.
  • Pensyarah Kanan Pusat Kajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaraan (SEEDS) UKM, Dr Zurinah Tahir, berkata, dakwaan yang menyamakan sepenuhnya penternakan babi dengan ternakan lain adalah satu generalisasi yang kurang tepat.
  • Dalam realiti amalan pertanian moden, penternakan babi mempunyai beberapa ciri yang menjadikannya lebih kompleks dari segi pengurusan kesihatan persekitaran.
  • “Antaranya ialah jumlah dan sifat sisa buangan yang dihasilkan. Babi menghasilkan sisa dalam kuantiti yang tinggi dengan kandungan bahan organik serta nutrien seperti nitrogen dan fosforus yang lebih pekat,” katanya.

KUALA LUMPUR – Babi menghasilkan sisa buangan dengan kandungan bahan organik serta nutrien seperti nitrogen dan fosforus yang lebih pekat sekali gus meningkatkan risiko pencemaran sumber air dan impak bau yang kuat jika tidak diuruskan dengan teknologi berkesan.

Sehubungan itu, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaraan (SEEDS) Universiti Kebangsaaan Malaysia (UKM), Dr Zurinah Tahir berkata, dakwaan yang menyamakan sepenuhnya penternakan babi dengan ternakan lain adalah satu generalisasi yang kurang tepat.

Dalam realiti amalan pertanian moden, penternakan babi mempunyai beberapa ciri yang menjadikannya lebih kompleks dari segi pengurusan kesihatan persekitaran. 

“Antaranya ialah jumlah dan sifat sisa buangan yang dihasilkan. Babi menghasilkan sisa dalam kuantiti yang tinggi dengan kandungan bahan organik serta nutrien seperti nitrogen dan fosforus yang lebih pekat.

“Tanpa sistem rawatan sisa yang berkesan, keadaan ini boleh meningkatkan risiko pencemaran air serta menghasilkan bau yang kuat, sekali gus memberi kesan kepada komuniti sekitar,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times hari ini.

Isu penternakan babi di Selangor kembali hangat baru-baru ini apabila seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari DAP membangkitkan hujah bahawa perkara tersebut menyentuh hak kesamarataan warganegara seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

ADUN Seri Kembangan, Wong Siew Ki berkata, isu penternakan babi tidak seharusnya dilihat secara berbeza berbanding ternakan lain, malah perlu dinilai dalam kerangka hak sama rata di bawah undang-undang.

Menurutnya Siew Ki, penternakan babi tidak seharusnya dibezakan daripada penternakan haiwan yang lain kerana mendakwa risiko pencemaran, aspek kebersihan serta kesihatan dalam penternakan babi adalah sama seperti yang dihadapi penternakan haiwan yang lain.

Mengulas lanjut, Zurinah memberitahu, terdapat juga risiko penyakit tertentu yang lebih sinonim dengan penternakan babi seperti japanese encephalitis dan swine influenza

Walaupun tidak semua penyakit ini mudah menjangkiti manusia, ujar beliau, kewujudannya tetap memerlukan kawalan rapi, terutamanya dalam sistem penternakan intensif. 

“Kepadatan ternakan yang tinggi dalam ladang babi moden juga boleh mempercepatkan penularan penyakit serta meningkatkan tekanan terhadap persekitaran jika tidak diurus secara sistematik,” katanya lagi.

Dari sudut perancangan guna tanah dan sensitiviti sosial, beliau berkata, penternakan babi juga sering diberikan perhatian khusus. 

“Faktor bau, persepsi masyarakat, serta keperluan zon penampan menjadikan industri ini lazimnya ditempatkan jauh dari kawasan perumahan. Ini menunjukkan bahawa secara praktikal, penternakan babi memang memerlukan pendekatan pengurusan yang lebih berhati-hati berbanding sesetengah ternakan lain,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, dakwaan bahawa penternakan babi mempunyai risiko yang sama seperti ternakan lain adalah tidak tepat jika dilihat secara terperinci. 

“Setiap jenis ternakan mempunyai profil risiko tersendiri, dan dalam kes penternakan babi, terdapat faktor tambahan yang menuntut kawalan yang lebih ketat. “Oleh itu, pendekatan yang lebih tepat bukanlah menyamakan semua jenis ternakan, tetapi memahami perbezaan tersebut dan merangka dasar serta amalan pengurusan yang sesuai demi melindungi kesihatan awam dan kelestarian alam sekitar. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author