Terkini
Al-Aqsa ditutup: Agenda ‘Kuil Ketiga’ Zionis Yahudi–Kristian terbongkar
- Profesor Pengajian Baitulmaqdis dan Sejarah Islam di Social Sciences University of Ankara, Khalid El-Awaisi, berkata kedua-dua aliran ini berkongsi matlamat tertentu termasuk usaha membina semula “Kuil Ketiga” di tapak Masjid al-Aqsa, walaupun berbeza dari segi kepercayaan akhir.
- “Kini, al-Aqsa ditutup sepenuhnya atau dibuka semula hanya mengikut syarat Israel satu langkah penentu ke arah “Kuil Ketiga” yang dibayangkan.
- “Kerjasama ini turut dizahirkan melalui projek “lembu merah”: meskipun terdapat larangan rabai yang berpunca daripada kebimbangan mengenai ketidak-sucian ritual, golongan evangelikal Amerika telah membiayai kejuruteraan genetik lembu merah bagi membolehkan pelaksanaan ritual penyucian Yahudi serta kemasukan beramai-ramai ke al-Aqsa, sekaligus memajukan persiapan pembinaan kuil tersebut,” jelas beliau.
TURKIYE- Penutupan Masjid al-Aqsa yang berlarutan lebih sebulan dilihat bukan sekadar isu keselamatan, sebaliknya mencerminkan agenda lebih besar yang dikaitkan dengan doktrin meruntuhkan masjid suci itu, menurut seorang sarjana pengajian Baitulmaqdis.
Profesor Pengajian Baitulmaqdis dan Sejarah Islam di Social Sciences University of Ankara, Khalid El-Awaisi, berkata perkembangan semasa menunjukkan pertembungan ideologi antara Zionis Yahudi dan Zionis Kristian yang semakin jelas mempengaruhi hala tuju politik di Baitulmaqdis.
Menurut beliau, kedua-dua aliran ini berkongsi matlamat tertentu termasuk usaha membina semula “Kuil Ketiga” di tapak Masjid al-Aqsa, walaupun berbeza dari segi kepercayaan akhir.
“Gerakan yang dahulunya dianggap ekstrem kini semakin menembusi arus perdana politik Israel, sekaligus membuka jalan kepada agenda yang sebelum ini tersembunyi,” katanya.
Dalam masa sama, Zionisme Kristian khususnya dalam kalangan evangelikal dilihat memainkan peranan penting dalam menyokong agenda tersebut, termasuk melalui pengaruh politik di Amerika Syarikat.
Beliau menjelaskan, sokongan ini bukan sahaja bersifat ideologi, malah diterjemahkan dalam bentuk dasar luar dan perlindungan diplomatik yang mengukuhkan kedudukan Israel di Baitulmaqdis.
Menurut Khalid, dalam tempoh dua dekad lalu, kerjasama antara Zionis Yahudi dan Kristian semakin kukuh, termasuk usaha memperluas kawalan ke atas Masjid al-Aqsa melalui pencerobohan berjadual serta sekatan akses terhadap umat Islam.
“Kini, al-Aqsa ditutup sepenuhnya atau dibuka semula hanya mengikut syarat Israel satu langkah penentu ke arah “Kuil Ketiga” yang dibayangkan.
“Kerjasama ini turut dizahirkan melalui projek “lembu merah”: meskipun terdapat larangan rabai yang berpunca daripada kebimbangan mengenai ketidak-sucian ritual, golongan evangelikal Amerika telah membiayai kejuruteraan genetik lembu merah bagi membolehkan pelaksanaan ritual penyucian Yahudi serta kemasukan beramai-ramai ke al-Aqsa, sekaligus memajukan persiapan pembinaan kuil tersebut,” jelas beliau.
Profesor Khalid turut memberi amaran bahawa perkembangan ini menandakan peralihan daripada sekadar kepercayaan agama kepada pelaksanaan agenda politik berskala besar yang melibatkan kuasa antarabangsa.
“Baitulmaqdis kini bukan lagi isu tempatan Palestin semata-mata, tetapi menjadi pusat pertembungan global antara ideologi, agama dan geopolitik,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa Masjid al-Aqsa bukan sekadar tapak suci, tetapi simbol identiti, kedaulatan dan masa depan rantau tersebut, yang kini berdepan ancaman berterusan. -The Merdeka Times
Dapatkan perkembangan terkini di Palestin secara pantas dan eksklusif dengan sertai telegram Dunia Palestin: t.me/duniapalestin