Terkini
AJK PKR tegur tiada lagu Negaraku, Pemimpin balas ‘jaga adab’
- Menerusi klip video berdurasi pendek tersebut, seorang individu dipercayai AJK PKR bertindak bangun dan mempersoalkan mengapa lagu kebangsaan tidak dinyanyikan sebagai pembuka majlis.
- Walau bagaimanapun, suasana menjadi ‘panas’ apabila pemimpin yang sedang berucap di atas pentas membalas celahan tersebut dengan menekankan kepentingan adab.
- “Saya sedang berucap. Betul ke tidak? Mesti ada protokol kan? Takkanlah mencelah apabila orang sedang berucap. Kena kena tunjuk adab sedikit,“ kata pemimpin berkenaan dalam rakaman video di laman Threads, Acsabu Acsabu.
KUALA LUMPUR – Satu rakaman video memaparkan tindakan seorang dipercayai ahli jawatankuasa (AJK) peringkat akar umbi Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencelah ketika ucapan sedang berlangsung bagi menegur ketiadaan nyanyian lagu Negaraku dalam sebuah majlis rasmi parti politik tersebut, tular di media sosial sejak semalam.
Insiden itu mengundang pelbagai reaksi netizen yang mempersoalkan kegagalan penganjur mengikut protokol asas majlis rasmi.
Menerusi klip video berdurasi pendek itu, AJK tersebut dilihat bertindak mempersoalkan mengapa lagu kebangsaan tidak dinyanyikan sebagai pembuka majlis.
Teguran itu turut mendapat tepukan daripada ahli-ahli lain yang berada di dalam dewan.
Walau bagaimanapun, suasana menjadi ‘panas’ apabila pemimpin yang sedang berucap di atas pentas membalas celahan tersebut dengan menekankan kepentingan adab.
“Saya sedang berucap. Betul ke tidak? Mesti ada protokol kan? Takkanlah mencelah apabila orang sedang berucap. Kena kena tunjuk adab sedikit,“ kata pemimpin berkenaan dalam rakaman video di laman Threads, Acsabu Acsabu.
Pada kapsyen hantaran tersebut, pemilik akaun telah mendakwa: “KC (ketua cabang) Kuala Selangor Sivabalan sudah panas bila ada AJK tegur mesyuarat harus bermula dengan nyanyian lagu Negaraku, Selangor dan lagu Parti. Ini floor saya, jangan tegur, jaga adab, ikut protokol tapi dia sendiri tak ikut protokol.”
Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata pengguna media sosial menyatakan kekesalan terhadap penganjur yang dilihat mengabaikan protokol lagu kebangsaan.
“Saya pergi mesyuarat taska anak pun ikut protokol, ada nyanyian ‘Negaraku’ dan bacaan doa sebelum bermula,” tulis salah seorang netizen.
Secara lazimnya, sesebuah majlis rasmi dimulakan dengan nyanyian Negaraku.- The Merdeka Times