Terkini
Polis digesa siasat penceroboh tanah elak persepsi undang-undang dua darjat
- Ketua (Sementara) GARAH, Haniff Khatri Abdulla menggesa pihak polis menjalankan siasatan terhadap individu yang didakwa sebagai penceroboh tanah bagi mengelakkan persepsi wujudnya amalan undang-undang dua darjat dalam negara ini.
- Menurut beliau, isu berkenaan perlu ditangani secara telus memandangkan pemilik tanah serta ejen yang terlibat dalam perobohan telah dikenakan tindakan, manakala individu yang didakwa sebagai penceroboh asal dikatakan masih belum dikenakan sebarang tindakan.
- “Pemilik tanah, tanah yang dicerobohi, ejen-ejen beliau yang melakukan perobohan ditahan tetapi penceroboh asal, berbelas tahun dibiarkan begitu sahaja,” katanya.
KUALA LUMPUR – Ketua (Sementara) GARAH, Haniff Khatri Abdulla menggesa pihak polis menjalankan siasatan terhadap individu yang didakwa sebagai penceroboh tanah bagi mengelakkan persepsi wujudnya amalan undang-undang dua darjat dalam negara ini.
Menurut beliau, isu berkenaan perlu ditangani secara telus memandangkan pemilik tanah serta ejen yang terlibat dalam perobohan telah dikenakan tindakan, manakala individu yang didakwa sebagai penceroboh asal dikatakan masih belum dikenakan sebarang tindakan.
“Saya serahkan kepada pihak Yayasan Kubra untuk menentukan masa depan kes mereka kerana dalam perkara itu pun, dari segi undang-undang, kalau pihak kuil tidak puas hati dengan apa yang berlaku, mereka mempunyai hak untuk membawa tindakan sivil.
“Saya yakin pihak pemilik tanah dengan peguam akan melakukan apa yang mereka perlu untuk membela diri, jadi tidak ada tindasan kepada mana-mana pihak. Sekiranya pihak pengurusan rumah anutan berkenaan percaya, kononnya mereka ada hak, bawa ke mahkamah,” katanya dalam satu sidang media baru-baru ini.
Tambah beliau, kegagalan menjelaskan perkara itu kepada rakyat boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap sistem perundangan negara.
“Kalau perkara ini tidak dijelaskan kepada rakyat, rakyat akan nampak mempunyai persepsi seolah-olah ada undang-undang dua darjat.
“Pemilik tanah, tanah yang dicerobohi, ejen-ejen beliau yang melakukan perobohan ditahan tetapi penceroboh asal, berbelas tahun dibiarkan begitu sahaja.
“Adakah negara kita mempunyai undang-undang yang tunggang terbalik sekarang ini? Ini persoalan rakyat di luar,” ujarnya
Terdahulu media melaporkan, empat individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kerja-kerja pembersihan tanah yang dijalankan awal pagi Rabu.
Tangkapan dipercayai dibuat susulan laporan polis oleh seorang individu yang mendakwa sebagai pemilik sebuah kuil di atas tanah milik Yayasan Kubra di Taman Rawang Perdana .
Dalam pada itu, Haniff Khatri berkata beliau turut membangkitkan persoalan berhubung tindakan terhadap individu yang dikenal pasti sebagai penceroboh tanah.
“Menurut laporan media, pada hari berkenaan, penceroboh tanah hadir. Beliau telah membuat laporan polis. Beliau telah hadir di balai polis memperkenalkan diri.
“Dalam perkataan lain, pihak polis telah mengecam siapa penceroboh. persoalannya, adakah pihak polis akan menyiasat beliau di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 477 Kanun Keseksaan iaitu menceroboh tanah peribadi.
“Ada nak siasat atau tidak, seksyen pun saya dah umumkan, tak payah nak rujuk. Sila maklumkan kepada rakyat, adakah tidak akan diambil untuk tahan individu tersebut,” tegasnya.
Beliau turut mempersoalkan sama ada permohonan reman akan dibuat terhadap individu berkenaan, walaupun menurutnya dalam kes seperti itu, tahanan reman tidak semestinya diperlukan.
“Adakah permohonan reman dibuat, walau sebenarnya tak perlu buat reman dalam kes-kes seperti ini. Tahan, ambil kenyataan dan lepas atas ikat jamin polis.
“Kami diarah tidak menuntut ketidakadilan terhadap sesiapa sahaja. Jadi, ada atau tidak pihak polis menahan dan mengambil keterangan dan membuat siasatan di bawah Seksyen 441 yang saya sebut tadi atau mana-mana seksyen lain. Ini tanggungjawab pihak polis,” jelasnya. – The Merdeka Times