Terkini
Mukhriz seru semua pihak tanpa kira bangsa selamatkan negara
- Presiden PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata kemelut dalaman yang melanda PN termasuk hubungan antara PAS dan BERSATU dilihat menambah ketidaktentuan politik ketika rakyat berdepan pelbagai tekanan kos sara hidup.
- Beliau juga mendakwa dasar-dasar yang diperkenalkan Kerajaan Madani kini semakin membebankan rakyat serta menimbulkan persoalan terhadap ketelusan dan keutamaan pentadbiran negara.
- “Bila keputusan yang memihak kroni tertentu dibuat, dah tentu rakyat mula curiga, susah dah nak percaya bahawa setiap keputusan itu baik untuk rakyat, baik untuk negara bila lantikan pun ada kepentingan politik,” jelasnya.
KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyeru rakyat tanpa kira bangsa yang masih menyimpan rasa cinta terhadap negara untuk selamatkan Malaysia.
Beliau menyatakan kebimbangan terhadap situasi politik dan pentadbiran negara yang menurutnya semakin meresahkan rakyat.
Mukhriz berkata kemelut dalaman yang melanda Perikatan Nasional (PN) termasuk hubungan antara PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dilihat menambah ketidaktentuan politik ketika rakyat berdepan pelbagai tekanan kos sara hidup.
Dalam masa sama, beliau mendakwa dasar-dasar yang diperkenalkan Kerajaan Madani kini semakin membebankan rakyat serta menimbulkan persoalan terhadap ketelusan dan keutamaan pentadbiran negara.
Mukhriz turut membangkitkan kebimbangan berhubung isu perjanjian perdagangan dengan Amerika Syarikat yang menurutnya boleh memberi implikasi terhadap kedaulatan dan keupayaan ekonomi negara untuk berdiri sendiri.
“Kedaulatan mula terancam bila timbul isu perjanjian perdagangan dengan Amerika Syarikat? Ekonomi kita macam dah tak boleh nak diukur sendiri.
“Rakyat dah mula tertanya, siapa sebenarnya yang memegang tampuk pemerintahan ini? Rasuah? Jangan cakaplah, memang ada yang ditangkap tapi kroni yang maha kaya, yang ‘jerung-jerung’ besar itu masih bebas,” katanya dalam satu hantaran di TikTok.
Beliau juga mempersoalkan beberapa pelantikan jawatan utama negara yang dibuat atas nasihat Perdana Menteri, termasuk Peguam Negara, Ketua Polis Negara, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Ketua Hakim Negara, yang menurutnya boleh menimbulkan persepsi konflik kepentingan.
“Bila keputusan yang memihak kroni tertentu dibuat, dah tentu rakyat mula curiga, susah dah nak percaya bahawa setiap keputusan itu baik untuk rakyat, baik untuk negara bila lantikan pun ada kepentingan politik,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Mukhriz menyentuh soal Akta Pembangunan Semula Bandar dan Akta Perolehan Kerajaan yang didakwa memberi kelebihan kepada pihak tertentu, selain menyuarakan kekecewaan terhadap kelewatan pelaksanaan akta pendanaan politik.
“Mana janji nak jaga duit rakyat? Mana janji nak elak skandal macam 1MDB dulu? Akta perdanaan politik pun entah ke mana. Sampai sekarang tak siap-siap,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan komitmen PEJUANG untuk memperjuangkan tadbir urus yang lebih telus dan berintegriti sekiranya diberi mandat mentadbir negara.
“Pasanglah niat yang telus ikhlas untuk bersama-sama membetulkan apa yang dirosakkan oleh kerajaan sekarang dan kita wajib berjanji di depan Allah, bahawa apabila kita diberi amanah untuk memerintah negara nanti, kita tidak akan sekali-kali pecah amanah itu.
“Kita akan jaga rakyat seperti mana kita jaga keluarga kita sendiri. Kita akan pertahankan Malaysia seperti mana kita mempertahankan rumah kita sendiri,” katanya.
Jelasnya, usaha memerangi rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan perlu dilaksanakan secara tegas dan konsisten, bukan sekadar retorik politik tanpa tindakan yang nyata.
“Percayalah, selagi kita bersatu, selagi kita ikhlas, selagi itu kita mampu menyelamatkan keadaan demi Malaysia yang kita cintai, demi masa depan anak cucu kita,” ujarnya. – The Merdeka Times