Connect with us

Terkini

Mahkamah Agung AS gugur tarif Trump , ART Malaysia-AS sah lagi?

Published

on

Foto: Ketua Penerangan PAS Selangor, Dr. Yusfarizal Yussoff.
  • Ketua Penerangan PAS Selangor, Dr. Yusfarizal Yussoff mempersoalkan kedudukan atau status sebenar perjanjian.
  • “Perjanjian yang telah kita tandatangani itu nanti jadi apa? Apakah tarifnya kekal 19 peratus? Atau boleh dikurangkan lagi kepada 10 peratus? Atau masih sahkah perjanjian yang ditandatangani atas Perintah Eksekutif Trump yang sudah jadi tidak sah,” katanya.
  • Beliau menjelaskan, tarif itu tidak dapat dielakkan dalam perdagangan antarabangsa, tapi biarlah cermat kita mengurusnya.

KUALA LUMPUR – Tanda tanya besar terus menyelubungi status Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) yang dimeterai Malaysia dengan Amerika Syarikat susulan keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat membatalkan tarif yang dikenakan Presiden Donald Trump atas alasan beliau tidak mempunyai kuasa berbuat demikian.

Isu berkenaan menjadi perbahasan hangat apabila keputusan mahkamah pada 20 Februari lalu secara majoriti memutuskan bahawa tarif yang dikenakan melalui pengisytiharan “darurat ekonomi” di bawah International Emergency Economic Powers Act (IEEPA) adalah tidak sah.

Sebelum ini, Malaysia bersama Kemboja menandatangani ART dengan Amerika Syarikat sekitar Oktober 2025, selepas dikenakan tarif asal 25 peratus yang kemudiannya diturunkan kepada 19 peratus susulan rundingan.

Bagaimanapun, keputusan mahkamah tersebut menimbulkan persoalan baharu mengenai kesahan perjanjian yang telah dimeterai.

Ketua Penerangan PAS Selangor, Dr. Yusfarizal Yussoff mempersoalkan kedudukan atau status sebenar perjanjian.

“Perjanjian yang telah kita tandatangani itu nanti jadi apa? Apakah tarifnya kekal 19 peratus? Atau boleh dikurangkan lagi kepada 10 peratus? Atau masih sahkah perjanjian yang ditandatangani atas Perintah Eksekutif Trump yang sudah jadi tidak sah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Menurut beliau, kerajaan pada peringkat awal tegas mempertahankan ART walaupun menerima kritikan bahawa perjanjian tersebut didakwa tidak selamat berbanding perjanjian sama yang dimeterai Kemboja.

“Selangkah demi selangkah Kerajaan berundur, mahu semak semula dan belum mahu ratifikasi. 

“Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) yang baru menjawab dalam Parlimen bahawa Malaysia sedang melakukan analisis manfaat kos terhadap kesan ART. Dahulu tidak sempat buat,” tegasnya.

Beliau menjelaskan, tarif itu tidak dapat dielakkan dalam perdagangan antarabangsa, tapi biarlah cermat kita mengurusnya.

Beliau turut membangkitkan persoalan sama ada pihak berkuasa, termasuk Jabatan Peguam Negara (AGC), tidak menjangkakan kemungkinan bahawa tarif tersebut boleh dicabar dari sudut perlembagaan Amerika Syarikat, memandangkan kuasa mengenakan cukai dan tarif terletak di tangan Kongres.

“Soalan saya satu sahaja, dalam keadaan tidak sempat buat analisis manfaat kos sebelum tandatangani ART, dan katanya AGC telah semak Perjanjian tersebut.

“Tidak terlintaskah kepada kita bahawa kemungkinan tarif itu sendiri tidak sah kerana Trump tiada kuasa (dan tidak pernah ada Presiden sebelumnya melakukannya). Sama-sama kita nantikan tindakan seterusnya oleh Kerajaan kita,” ujarnya. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author