Terkini
Kerjasama UMNO–DAP bukan halangan mutlak penyatuan Melayu-Islam
- Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abd. Muis berkata, kenyataan tersebut lebih bersifat retorik politik dalam konteks mobilisasi sokongan Melayu, khususnya apabila DAP masih dilihat oleh sebahagian pengundi Melayu sebagai parti bukan-Melayu atau parti liberal-sekular.
- “Kepimpinan parti mesti sedar bahawa legitimasi politik jangka panjang datang daripada kemampuan untuk mengurus kepelbagaian, bukan semata-mata menegaskan identiti dominan. Retorik yang menekankan penolakan terhadap sesuatu pihak mungkin berguna untuk pengukuhan jangka pendek, tetapi berisiko mengukuhkan sempadan sosial politik dan memperdalam polarisasi sosiopolitik,” katanya.
KUALA LUMPUR – Kenyataan bahawa kerjasama antara UMNO dan DAP dalam Kerajaan Perpaduan menjadi penghalang kepada penyatuan Melayu-Islam disifatkan sebagai satu persepsi politik, namun bukan fakta empirikal yang mutlak.
Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abd. Muis berkata, kenyataan tersebut lebih bersifat retorik politik dalam konteks mobilisasi sokongan Melayu, khususnya apabila DAP masih dilihat oleh sebahagian pengundi Melayu sebagai parti bukan-Melayu atau parti liberal-sekular.
Menurut beliau, kenyataan yang dikeluarkan Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa sebelum ini menegaskan bahawa keberadaan UMNO dalam gabungan dengan Kerajaan Perpaduan, khususnya DAP, boleh menjadi halangan kepada pembentukan muafakat Melayu-Islam kerana kebanyakan parti Melayu-Islam lain menolak kerjasama dengan DAP.
“Dari sudut analisis politik berbilang kaum di Malaysia, kenyataan tersebut boleh difahami sebagai satu persepsi politik, tetapi bukan fakta empirikal mutlak.
“Namun secara teoritikal penyatuan kaum atau penyatuan identiti politik tidak hanya ditentukan oleh hubungan dengan satu parti tertentu (seperti DAP), tetapi bergantung kepada naratif, dasar, dan persepsi identiti yang dibina oleh para pemimpin terhadap penyokong,” katanya kepada The Merdeka Times.
Terdahulu, media melaporkan, pendirian UMNO untuk terus menyokong keberadaan Pakatan Harapan (PH), khususnya DAP, dilihat berpotensi menjadikan hasrat parti itu ke arah penyatuan Melayu sebagai ‘non starter’ atau tidak berkembang.
Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Annuar Musa berkata, realiti politik semasa menunjukkan sebahagian besar parti Melayu-Islam masih menolak kerjasama dengan DAP, sekali gus menyukarkan usaha membentuk kesepaduan politik Melayu secara menyeluruh.
Bagaimanapun, beliau menegaskan UMNO perlu diberi ruang untuk ‘bersilat’ dan ‘menari’ dalam menjayakan agenda tersebut memandangkan semua pihak sudah maklum dengan pendirian parti itu. Menurutnya, ruang berkenaan mempunyai ‘time line’ tertentu, namun sekurang-kurangnya Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi telah memperoleh mandat parti bagi menggerakkan usaha ke arah penyatuan Melayu.
Dalam pada itu, Mujibu menjelaskan, DAP secara rasmi bukan parti yang mengutamakan Melayu-Islam, namun keadaan itu tidak serta-merta memberi kesan struktural bahawa UMNO tidak boleh menarik sokongan Melayu sekiranya bersekutu dengan parti tersebut.
Tambahnya, dalam disiplin sains politik, hubungan antara parti dan sokongan pengundi sering dirangka melalui dua dimensi utama.
“Pertama, persepsi identiti dan sekuriti simbolik. Sebilangan pengundi Melayu tradisional menyokong naratif bahawa kerjasama dengan parti bukan-Melayu boleh menjejaskan perjuangan hak istimewa Melayu-Islam, khasnya dalam isu bahasa, pendidikan agama, ekonomi dan kuasa institusi.
“Kedua, keperluan koalisi pragmatik. Dalam sistem berparti berbilang (multiparty system), koalisi pragmatik sering dibentuk bukan semata atas identiti tetapi atas keperluan majoriti,” ujarnya.
Tambah beliau, sekiranya UMNO melihat kerjasama tersebut sebagai jalan untuk berada dalam kerajaan dan mempengaruhi dasar tertentu, pendekatan itu berpotensi menarik pengundi Melayu yang lebih pragmatik.
“Justeru, impaknya tidak monolitik. Kumpulan pengundi Melayu yang lebih konservatif kemungkinan akan mengalami keraguan atau ketidakpuasan.
“Namun pengundi yang lebih pragmatik atau urban mungkin melihat hubungan tersebut sebagai strategi bagi kestabilan politik dan peluang perwakilan.
“Secara relatif, aspek impak dasar (policy outcomes) sering lebih menentukan sokongan jangka panjang daripada semata-mata persoalan dengan siapa sesebuah parti bekerjasama,” jelasnya.
Mengulas strategi penyatuan politik Melayu-Islam, Mujibu berpendapat pendekatan tersebut mestilah telus, inklusif dan berasaskan dasar, bukan semata-mata retorik identiti.
“Secara asasnya, saya melihat tiga pendekatan berikut dapat dipertimbangkan. Pertama, fokus kepada isu material dan dasar yang menyentuh kesejahteraan rakyat seperti pendidikan, peluang pekerjaan, kos sara hidup dan pembangunan luar bandar supaya agenda Melayu-Islam tidak dilihat sebagai eksklusif kepada satu kumpulan sahaja.
“Kedua, membangun kerjasama koalisi pakatan berasaskan konsensus dasar (policy concordance) tanpa bergantung kepada pengecualian atau penolakan terhadap mana-mana parti tertentu tetapi kepada kesepakatan dasar yang jelas.
“Ketiga, komunikasi yang mengurangkan ketakutan kolektif. Strategi pemimpin yang berwibawa ialah merebut naratif inklusif agar rakyat Melayu-Islam tidak melihat kerjasama antara kaum sebagai ancaman, tetapi sebagai alat untuk kestabilan nasional,” tegasnya.
Beliau menegaskan, dalam konteks Malaysia sebagai negara berbilang etnik dan agama, penyatuan tidak semestinya bermaksud homogenisasi.
“Kepimpinan parti mesti sedar bahawa legitimasi politik jangka panjang datang daripada kemampuan untuk mengurus kepelbagaian, bukan semata-mata menegaskan identiti dominan.
“Retorik yang menekankan penolakan terhadap sesuatu pihak mungkin berguna untuk pengukuhan jangka pendek, tetapi berisiko mengukuhkan sempadan sosial politik dan memperdalam polarisasi sosiopolitik,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berpandangan usaha menyatukan masyarakat Melayu dan umat Islam dalam lanskap Malaysia yang pelbagai mestilah berasaskan kompromi prinsip dan konsensus dasar, bukan sekadar retorik identiti atau penolakan entiti politik lain. – The Merdeka Times