Terkini
Kenyataan ‘cerai’ dalam isu Sarawak seru hentikan pertelingkahan, bukan pemisahan
- Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menjelaskan bahawa penggunaan istilah “cerai” yang dikaitkan dengan kedudukan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia sebelum ini hanyalah bersifat kiasan dan tidak sama sekali berniat mencetuskan salah faham atau mencadangkan pemisahan secara rasmi.
- “Saya tidak pernah berniat untuk mengatakan kita mahu bercerai. Itu hanyalah satu ungkapan. Maksud saya ialah kita perlu hidup dalam suasana harmoni dan menumpukan kepada perkara yang boleh dilakukan untuk meningkatkan kehidupan rakyat, bukan membuang masa dengan pertengkaran,” katanya.
KUALA LUMPUR – Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menjelaskan bahawa penggunaan istilah “cerai” yang dikaitkan dengan kedudukan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia sebelum ini hanyalah bersifat kiasan dan tidak sama sekali berniat mencetuskan salah faham atau mencadangkan pemisahan secara rasmi.
Memetik laporan NST, beliau berkata, kenyataan itu dibuat sebagai seruan agar pertelingkahan berterusan antara Semenanjung dan Sarawak dihentikan, semua pihak perlu memberi tumpuan kepada usaha memperbaiki kesejahteraan rakyat.
“Saya tidak pernah berniat untuk mengatakan kita mahu bercerai. Itu hanyalah satu ungkapan.
“Maksud saya ialah kita perlu hidup dalam suasana harmoni dan menumpukan kepada perkara yang boleh dilakukan untuk meningkatkan kehidupan rakyat, bukan membuang masa dengan pertengkaran,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan surat setuju terima bagi projek pembinaan Penjara Sibu, hari ini.
Ahli Parlimen Kapit itu sebelum ini menerima kritikan susulan kenyataannya dalam satu temu bual radio berhubung iklim politik nasional, khususnya melibatkan hubungan antara Sarawak dan Semenanjung.
Nanta yang juga cucu kepada salah seorang Bapa Pengasas Malaysia, Tun Jugah Barieng, menegaskan bahawa beliau menentang budaya saling bertelingkah yang berlarutan antara Semenanjung dan Sarawak..
“Saya bimbang. Jika kita terus bertengkar dalam semua perkara, jangan salahkan kami, jangan salahkan orang Sarawak.
“Jika kamu tidak suka kami, ceraikan sahaja kami. Lupakan,” katanya seperti dipetik dalam temu bual berkenaan.
Mengulas lanjut, beliau berkata sekiranya kenyataan itu dibaca secara menyeluruh dan dalam konteks sebenar, niatnya untuk mempertahankan keharmonian negara akan lebih jelas difahami.
“Saya cintakan Malaysia. Itulah intipatinya. Namun ada pihak yang memilih untuk mengambil sebahagian kecil kenyataan dan mentafsirkannya mengikut pandangan mereka sendiri.
“Itu hak mereka dan saya tidak mahu berdebat mengenainya,” katanya.
Berhubung dakwaan isu tersebut dijadikan modal politik menjelang pilihan raya negeri, Nanta berkata perkara itu terpulang kepada pihak yang membuat tuduhan berkenaan.
“Bagi saya, ia adalah kenyataan spontan dan tidak bertujuan dijadikan modal politik.
“Namun jika ia akhirnya menjadi peringatan kepada kita semua untuk berhenti berpecah-belah dan hidup harmoni sebagai rakyat Malaysia, maka itu satu perkara yang baik,” ujarnya. – The Merdeka Times