Terkini
Kekal atau batal perjanjian ART? Malaysia kena tegas pertahan kepentingan sendiri – Penganalisis
- Penganalisis Hubungan Antarabangsa dan Keselamatan, UUM, Nur Ashikin Yusof berkata, isu itu bukan sekadar perdebatan teknikal mengenai tarif, sebaliknya menyentuh persoalan lebih mendalam tentang hala tuju Malaysia dalam dunia yang semakin tidak menentu.
- Menurut beliau, langkah menggantung sementara ratifikasi tidak semestinya mencerminkan sikap menolak kerjasama perdagangan, sebaliknya boleh dilihat sebagai pendekatan berhemah dalam memastikan setiap komitmen jangka panjang tidak terdedah kepada perubahan mendadak akibat dinamik politik domestik negara rakan.
- Beliau berkata, sekiranya ratifikasi diteruskan, mesej yang dihantar ialah Malaysia kekal konsisten dan komited terhadap hubungan perdagangan dua hala, sekali gus memberi keyakinan kepada sektor eksport dan pelabur bahawa akses ke pasaran AS terus menjadi keutamaan strategik.
KUALA LUMPUR – Malaysia perlu tegas dalam mempertahankan kepentingan sendiri ketika berdepan ketidaktentuan landskap perdagangan global, termasuk isu desakan supaya kerajaan menggantung ratifikasi Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS).
Penganalisis Hubungan Antarabangsa dan Keselamatan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berkata, isu tersebut bukan sekadar perdebatan teknikal mengenai tarif, sebaliknya menyentuh persoalan lebih mendalam tentang hala tuju Malaysia dalam dunia yang semakin tidak menentu.
“Apabila Mahkamah Agung AS membatalkan tarif yang menjadi asas kepada perjanjian tersebut, timbul persoalan tentang kestabilan komitmen dan hala tuju dasar perdagangan negara itu sendiri.
“Dalam keadaan begini, adalah munasabah untuk Malaysia mengambil sedikit masa bagi memastikan segala implikasi undang-undang dan ekonomi difahami sepenuhnya sebelum membuat keputusan muktamad,” katanya kepada The Merdeka Times.
Menurut beliau, langkah menggantung sementara ratifikasi tidak semestinya mencerminkan sikap menolak kerjasama perdagangan, sebaliknya boleh dilihat sebagai pendekatan berhemah dalam memastikan setiap komitmen jangka panjang tidak terdedah kepada perubahan mendadak akibat dinamika politik domestik negara rakan.
“Malaysia perlu memastikan bahawa sebarang komitmen tidak terdedah kepada perubahan mendadak akibat dinamik politik domestik negara rakan.
“Pada masa sama, keputusan untuk menangguhkan juga perlu diurus dengan komunikasi yang jelas supaya tidak menimbulkan salah faham dalam kalangan pelabur dan rakan dagang,” ujarnya.
Beliau berkata, sekiranya ratifikasi diteruskan, mesej yang dihantar ialah Malaysia kekal konsisten dan komited terhadap hubungan perdagangan dua hala, sekali gus memberi keyakinan kepada sektor eksport dan pelabur bahawa akses ke pasaran AS terus menjadi keutamaan strategik.
“Namun, kerajaan juga perlu yakin bahawa perubahan undang-undang di AS tidak akan menjejaskan kedudukan Malaysia dalam jangka panjang. Hubungan dengan kuasa besar sentiasa memerlukan imbangan yang teliti agar kepentingan nasional tidak terpinggir,” jelasnya.
Mengulas cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), beliau berpandangan perkara itu wajar dinilai secara rasional dengan mengambil kira kepentingan ketelusan dan reputasi diplomatik negara.
“Ketelusan adalah prinsip penting dalam tadbir urus moden, lebih-lebih lagi apabila melibatkan perjanjian antarabangsa yang memberi kesan luas kepada ekonomi negara. Pada masa sama, pendekatan yang terlalu dramatik boleh memberi gambaran bahawa proses rundingan negara tidak mantap.
“Alternatif seperti penelitian mendalam oleh jawatankuasa Parlimen mungkin lebih sesuai bagi memastikan akauntabiliti tanpa menjejaskan reputasi diplomatik,” jelasnya.
Tegas beliau, isu berkenaan bukan soal berpihak kepada mana-mana kuasa, sebaliknya berkaitan kebijaksanaan mengurus risiko dan peluang dalam persekitaran global yang sarat ketidaktentuan.
“Dalam dunia yang sarat dengan ketidaktentuan, keupayaan membaca situasi dengan tenang dan strategik adalah kekuatan sebenar sesebuah negara,” ujarnya. – The Merdeka Times