Connect with us

Terkini

DAP keluar, PN berpeluang manfaatkan keadaan – Penganalisis politik

Published

on

Foto: Penganalisis Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Kartini Aboo Talib.
  • Penganalisis Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Kartini Aboo Talib berkata situasi itu boleh membuka ruang kepada parti lain untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan.
  • “Jika DAP keluar, ibarat patah tumbuh hilang berganti, PKR dan UMNO akan meletakkan calon potensi untuk menyandang jawatan yang kosong; atau parti kecil seperti Parti Amanah Negara (AMANAH), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), dan lain-lain akan mempunyai lebih peluang untuk terlibat dalam Kabinet atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Perikatan Nasional juga boleh memanfaatkan keadaan jika DAP keluar dengan menawarkan alternatif kepada pengundi,” katanya kepada The Merdeka Times.katanya.

KUALA LUMPUR – Ibarat patah tumbuh hilang berganti, itulah ungkapan atau senario kejadian yang boleh digambarkan jika parti DAP keluar daripada Kerajaan Perpaduan.

Penganalisis Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Kartini Aboo Talib berkata situasi itu boleh membuka ruang kepada parti lain untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan.

Dalam masa sama, jelasnya, pembangkang seperti Perikatan Nasional (PN) dilihat berpotensi memanfaatkan perkembangan tersebut dengan menawarkan alternatif kepada pengundi.

“Jika DAP keluar, ibarat patah tumbuh hilang berganti, PKR dan UMNO akan meletakkan calon potensi untuk menyandang jawatan yang kosong; atau parti kecil seperti Parti Amanah Negara (AMANAH), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), dan lain-lain akan mempunyai lebih peluang untuk terlibat dalam Kabinet atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Perikatan Nasional juga boleh memanfaatkan keadaan jika DAP keluar dengan menawarkan alternatif kepada pengundi,” katanya kepada The Merdeka Times.

Tambah beliau, langkah tersebut akan menyebabkan kerajaan kehilangan sebahagian besar tenaga kerja dalam kalangan menteri, timbalan menteri dan Exco negeri daripada DAP.

“Jika DAP tarik diri sekarang, maka kerajaan perpaduan Anwar Ibrahim akan kehilangan sebahagian besar tenaga kerja menteri, timbalan menteri dan exco negeri. Saya fikir ini tidak akan menguntungkan DAP dan Anwar.

“DAP akan menyokong Kerajaan Perpaduan sehinggalah tiba masa PRU nanti, akan berlaku peralihan dalam gabungan parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan,” tegasnya.

Mengulas lanjut, beliau berpandangan kemungkinan besar DAP sedang mengatur strategi dalaman bagi mengurangkan kebergantungan terhadap kerajaan perpaduan tanpa perlu keluar daripada kerangka gabungan tersebut.

“DAP mungkin mengatur percaturan strategi dalaman untuk tidak terlalu bergantung kepada kerajaan perpaduan dengan. ‘Reset’ imej parti DAP tidak semestinya keluar dari kerangka Kerajaan Perpaduan kerana senario politik Malaysia sukar melihat satu parti bertanding secara solo untuk semua kawasan.

“Cuma ia mungkin isyarat kepada pengundi Cina bahawa DAP tegas dengan prinsip parti,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan strategi ‘reset’ tersebut perlu diperjelaskan dengan baik bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan penyokong dan rakyat.

“Dari segi analisis politik, strategi ‘reset’ DAP harus diperjelas dengan baik, agar tidak wujud salah faham kerana setiap strategi yang diatur mempunyai risiko.

“Dari segi perspektif Kerajaan Perpaduan, ini adalah ujian daya tahan dalam permuafakatan sejauh mana fleksibiliti dan kematangan politik untuk kekal bersama.

“Kerana jika gagal, ruang dan peluang ini akan terbuka kepada blok pembangkang untuk berkempen bahawa naratif kerajaan sedia ada adalah tidak stabil, lemah, maka rakyat perlukan transformasi,” ujarnya. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author