Antarabangsa
Trump dakwa tamatkan 8 perang guna kuasa tarif perdagangan
- “Saya telah menamatkan lapan perang, sebahagian besarnya melalui perdagangan dan tarif,”katanya.
- Trump turut mempertahankan strategi tarif sebagai kaedah paling berkesan dari sudut keselamatan negara.
WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mendakwa bahawa beliau telah berjaya menamatkan lapan konflik antarabangsa dengan menggunakan langkah perdagangan dan tarif sebagai alat tekanan.
Bercakap kepada wartawan ketika tiba di Kennedy Center pada Ahad, Trump berkata pendekatan tarif yang digunakan pentadbirannya telah memberi impak ketara terhadap keselamatan global.
“Saya telah menamatkan lapan perang, sebahagian besarnya melalui perdagangan dan tarif,”katanya.
Trump turut mempertahankan strategi tarif sebagai kaedah paling berkesan dari sudut keselamatan negara.
“Jika kita menggunakan kaedah tarif lain, ia tidak akan memberi keselamatan nasional yang sama bersih seperti kaedah ini. Pendekatan ini lebih pantas dan sangat berkuasa,” tegasnya.
Menjawab kebimbangan bahawa hasil tarif sepatutnya digunakan untuk membayar hutang negara, Trump bersetuju namun menegaskan pendapatan tarif yang tinggi membolehkan kerajaan melakukan kedua-duanya.
“Kita akan lakukan. Saya bersetuju. Tetapi kita memperoleh begitu banyak hasil daripada tarif sehingga kita juga mampu memberi dividen yang baik kepada rakyat berpendapatan sederhana dan rendah,” katanya.
Trump sebelum ini mencadangkan penggunaan pendapatan tarif untuk membiayai “dividen tarif AS$2,000” kepada majoriti rakyat Amerika sebagai pembayaran langsung. Namun, Setiausaha Perbendaharaan, Scott Bessent, menegaskan dividen itu “boleh datang dalam pelbagai bentuk”, bukan semestinya pembayaran tunai.
Dalam catatan di platform Truth Social, Trump menulis bahawa kaedah tarif yang sedang dinilai Mahkamah Agung AS ketika ini adalah kurang rumit dan jauh lebih cepat berbanding alternatif lain.
“Kelajuan, kuasa dan kepastian sentiasa menjadi faktor penting untuk menyelesaikan sesuatu tugas secara berkekalan dan berjaya,”tambahnya.-The Merdeka Times