Connect with us

Antarabangsa

Pelancong ke AS mungkin perlu dedah sejarah media sosial & e-mel

Published

on

Foto: Gambar Sekadar Hiasan.

  • Menurut notis yang diterbitkan dalam Federal Register pada Selasa, cadangan itu turut mengkehendaki pelawat memberikan rekod lima tahun nombor telefon peribadi, perniagaan dan ahli keluarga, sejarah 10 tahun alamat e-mel peribadi serta perniagaan dan alamat ahli keluarga.
  • Orang awam dan agensi persekutuan diberikan tempoh 60 hari untuk mengemukakan maklum balas sebelum cadangan itu dianalisis, disemak dan diterbitkan sebagai peraturan muktamad dalam Code of Federal Regulations.

AMERIKA SYARIKAT — Pelancong yang mahu memasuki Amerika Syarikat mungkin diwajibkan menyerahkan sejarah media sosial mereka untuk tempoh lima tahun, menurut cadangan baharu yang sedang dipertimbangkan pentadbiran Presiden Donald Trump.

Menurut notis yang diterbitkan dalam Federal Register pada Selasa, cadangan itu turut mengkehendaki pelawat memberikan rekod lima tahun nombor telefon peribadi, perniagaan dan ahli keluarga, sejarah 10 tahun alamat e-mel peribadi serta perniagaan dan alamat ahli keluarga.

Peraturan ini akan merangkumi semua pelawat baharu, termasuk dari negara yang tidak memerlukan visa serta negara yang memiliki perjanjian Electronic System for Travel Authorization (ESTA) seperti United Kingdom.

Notis itu dikemukakan oleh US Customs and Border Protection (CBP), agensi di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS).

Orang awam dan agensi persekutuan diberikan tempoh 60 hari untuk mengemukakan maklum balas sebelum cadangan itu dianalisis, disemak dan diterbitkan sebagai peraturan muktamad dalam Code of Federal Regulations.

Jika dilaksanakan, langkah tersebut dijangka memberi kesan kepada sebahagian besar lebih lima juta pengunjung yang dijangka hadir ke Piala Dunia 2026 yang akan dianjurkan bersama oleh AS, Kanada dan Mexico.

Cadangan itu hadir ketika sektor pelancongan AS sudah pun terjejas akibat siri sekatan sebelum ini, termasuk insiden penahanan serta penolakan masuk beberapa pelawat Eropah.

CBP turut mencadangkan agar pelawat asing menyediakan imej wajah dan geolokasi secara sukarela bagi membuktikan mereka telah meninggalkan AS, selaras dengan mandat undang-undang DHS untuk mengumpulkan maklumat biometrik pelawat keluar.

Melalui teknologi geolokasi, CBP akan mengesahkan bahawa individu melaporkan keberadaan mereka di luar AS, manakala perisian pengesanan akan memeriksa sama ada foto yang dihantar adalah imej “live”.

Dalam masa sama, CBP turut mencadangkan penggantian keseluruhan laman web ESTA dengan aplikasi mudah alih ESTA, sekali gus menamatkan penggunaan portal web semasa bagi tujuan meningkatkan keselamatan dan kecekapan.

CBP berhujah bahawa penjenayah didakwa mengeksploitasi kelemahan sistem, termasuk dengan memuat naik gambar diri atau pasport yang berkualiti rendah bagi mengelakkan dikesan.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author