Connect with us

Antarabangsa

Komen Pope isu Palestin: Tegaskan dua negara satu-satunya solusi, tapi elak kupas genosid Israel

Published

on

Foto: Pope Leo XIV
  • Pope Leo XIV  mengulangi pendirian lama Vatican yang menyokong penyelesaian dua negara untuk Israel dan rakyat Palestin. 
  • “Kita tahu bahawa pada masa ini, Israel tidak menerima penyelesaian ini, tetapi kita melihatnya sebagai satu-satunya cara yang dapat menawarkan penyelesaian kepada konflik yang mereka alami,” kata Leo. 
  • Bagaimanapun Pope mengelakkan sebarang sebutan langsung mengenai perang genosid Israel di Gaza sepanjang berada di Turkiye.

ISTANBUL – Pope Leo XIV sekali lagi menegaskan pendirian Vatikan bahawa penyelesaian dua negara bagi konflik Israel-Palestin adalah “satu-satunya solusi” yang boleh menjamin keadilan untuk kedua-dua pihak.

Leo membuat kenyataan itu yang dipetik Al Jazeera ketika dalam penerbangan dari Turkiye ke Lubnan pada Ahad bagi melengkapkan bahagian kedua dan terakhir lawatan antarabangsa sulungnya sebagai Pope.

Dalam penerbangan itu, beliau ditanya wartawan mengenai perbincangan tertutupnya dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, sebaik tiba di Ankara, dan sama ada mereka membincangkan peperangan di Gaza dan Ukraine.

Leo mengesahkan perkara tersebut dan berkata Turkiye mempunyai “peranan penting” dalam usaha menamatkan kedua-dua konflik.

Berkenaan Gaza, beliau mengulangi pendirian lama Vatican yang menyokong penyelesaian dua negara untuk Israel dan rakyat Palestin. 

Pembentukan sebuah negara Palestin di Baitulmaqdis Timur, Tebing Barat yang diduduki, dan Gaza telah lama dianggap antarabangsa sebagai satu-satunya jalan untuk menyelesaikan konflik yang berlarutan selama berdekad-dekad.

“Kita tahu bahawa pada masa ini, Israel tidak menerima penyelesaian ini, tetapi kita melihatnya sebagai satu-satunya cara yang dapat menawarkan penyelesaian kepada konflik yang mereka alami,” kata Leo. 

“Kita juga berkawan dengan Israel, dan kita cuba dengan kedua-dua pihak untuk menjadi suara pengantara yang boleh membantu mendekatkan mereka kepada satu penyelesaian yang adil untuk semua.”

Bagaimanapun Pope mengelakkan sebarang sebutan langsung mengenai perang genosid Israel di Gaza sepanjang berada di Turkiye.

Tiada respons segera daripada pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. 

Beliau telah lama menegaskan bahawa pembentukan sebuah negara Palestin akan memperkasa kumpulan Hamas dan akhirnya mewujudkan sebuah negara Hamas yang lebih besar di sempadan Israel.

Awal bulan ini, Netanyahu berkata penentangan Israel terhadap kewujudan sebuah negara Palestin “tidak berubah sedikit pun” dan tidak goyah oleh tekanan dalaman atau luaran. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author