Antarabangsa
“Kami akan rogol anak perempuan kamu”: Laungan penyokong Israel cemar perlawanan Liga Europa
- Rakaman video dan klip yang tular di media sosial menunjukkan sekumpulan penyokong Israel menyanyikan lagu-lagu berunsur penghinaan, termasuk seruan kepada keganasan dan ancaman seksual terhadap orang Arab dan rakyat Palestin.
- Antara lirik yang didengari ejekan terhadap kanak-kanak Gaza dengan kenyataan “tiada sekolah di Gaza kerana tiada lagi kanak-kanak.”
- Laungan lain turut mengandungi ancaman grafik dan bahasa seksual, termasuk frasa seperti “Kami akan minum darah kamu dan merogol anak perempuan kamu” serta “kamu pelacur Arab”.
STUTTGART – Penyokong kelab Israel, Maccabi Tel Aviv, mencetuskan kemarahan ramai semasa perlawanan Liga Europa menentang Stuttgart pada Khamis apabila mereka didakwa melaungkan slogan kebencian dan keganasan terhadap rakyat Palestin, selain nyanyian berunsur Nazi.
Perlawanan itu berakhir dengan kemenangan 4-1 memihak kepada Stuttgart.
Rakaman video dan klip yang tular di media sosial menunjukkan sekumpulan penyokong menyanyikan lagu-lagu berunsur penghinaan, termasuk seruan kepada keganasan dan ancaman seksual terhadap orang Arab dan rakyat Palestin.
Antara lirik yang didengari termasuk ejekan terhadap kanak-kanak Gaza dengan kenyataan “tiada sekolah di Gaza kerana tiada lagi kanak-kanak.”
Laungan lain turut mengandungi ancaman grafik dan bahasa seksual, termasuk frasa seperti “Kami akan minum darah kamu dan merogol anak perempuan kamu” serta “kamu pelacur Arab”.
Nyanyian tersebut dilaporkan menyerupai lagu kontroversi yang sering dinyanyikan oleh penyokong Maccabi Tel Aviv.
Insiden berkenaan berlaku di kawasan pusat bandar Stuttgart, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai unsur perkauman dan kebencian anti-Palestin di stadium-stadium Eropah.
Dalam perkembangan berkaitan, polis Jerman melancarkan siasatan terhadap penyokong Maccabi Tel Aviv selepas beberapa individu dilaporkan memberi tabik hormat Nazi semasa perlawanan tersebut.
Polis memaklumkan bahawa enam penyokong telah ditahan sementara sebelum perlawanan kerana menyalakan bunga api.
Seorang penyokong muda turut disiasat kerana memberi tabik hormat Nazi kepada anggota polis ketika dalam perjalanan ke stadium. Kesemua enam individu berkenaan dikenakan larangan memasuki stadium.
Sebelum ini, pihak berkuasa United Kingdom telah mengharamkan penyokong Maccabi Tel Aviv daripada menghadiri perlawanan Liga Europa di Birmingham selepas Polis West Midlands mengklasifikasikan perlawanan tersebut sebagai berisiko tinggi.
Kumpulan Penasihat Keselamatan menyatakan bahawa penilaian itu dibuat susulan insiden pertembungan ganas dan kesalahan jenayah kebencian melibatkan penyokong kelab berkenaan dalam perlawanan antara Ajax dan Maccabi Tel Aviv di Amsterdam pada tahun lalu.-The Merdeka Times