Antarabangsa
Freedom Flotilla sedia cabar sekatan Gaza dengan pelayaran terbesar pada 2026
- FFC memaklumkan bahawa tahun 2026 bakal menyaksikan peningkatan operasi secara “belum pernah berlaku”, melibatkan lebih banyak kapal, pengembangan kerjasama antarabangsa serta tindakan yang diselaraskan serentak di pelbagai negara.
- “Freedom Flotilla akan belayar pada 2026 sebagai satu deklarasi berani. Masyarakat sivil tidak akan berdiam diri melihat Gaza dicekik dan dimusnahkan. Kami sedang menyediakan lebih banyak kapal, penyertaan antarabangsa yang lebih luas dan tindakan terselaras yang paling besar setakat ini,” – Wakil Ship to Gaza Denmark, Bent Erik Krøyer
DUBLIN – Gabungan Freedom Flotilla Coalition (FFC) mengumumkan perluasan operasi terbesar dalam sejarahnya, dengan sasaran menggandakan usaha pelayaran bagi mencabar sekatan laut Israel ke atas Gaza pada tahun 2026.
Pengumuman itu dibuat semasa mesyuarat tahunan FFC yang berlangsung di Dublin dari 5 hingga 8 Disember 2025, yang menghimpunkan perwakilan daripada 18 kempen nasional, jawatankuasa gabungan serta rangkaian solidariti antarabangsa dari Eropah, Amerika Utara, Afrika, Australia, New Zealand dan Malaysia.
Menurut kenyataan gabungan itu, mesyuarat berkenaan berlangsung ketika Gaza sedang berdepan krisis kemanusiaan yang amat getir, dengan Israel didakwa terus melanggar gencatan senjata serta menyekat kemasukan bantuan asas termasuk khemah, selimut, bekalan perubatan dan susu formula bayi.
Ratusan ribu rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal turut berhadapan dengan cuaca musim sejuk yang melampau.
Ditubuhkan pada tahun 2010, Freedom Flotilla Coalition telah melancarkan puluhan kapal bagi mencabar sekatan laut Israel ke atas Gaza. Sepanjang tahun 2025, antara kapal yang terlibat termasuk Madleen, Handala dan Conscience.
FFC memaklumkan bahawa tahun 2026 bakal menyaksikan peningkatan operasi secara “belum pernah berlaku”, melibatkan lebih banyak kapal, pengembangan kerjasama antarabangsa serta tindakan yang diselaraskan serentak di pelbagai negara.
Mesyuarat di Dublin itu juga berlangsung seiring dengan penerimaan Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2803, yang disifatkan FFC sebagai satu langkah berbahaya kerana melemahkan undang-undang antarabangsa serta mengenakan bentuk baharu pentadbiran amanah antarabangsa ke atas Gaza.
Menurut ahli-ahli gabungan itu, resolusi berkenaan gagal melindungi hak rakyat Palestin dan tidak menamatkan sekatan ke atas Gaza.
“Resolusi 2803 adalah satu kegagalan moral oleh kerajaan-kerajaan berkuasa dan PBB,” kata Huwaida Arraf, Ahli Jawatankuasa Pemandu FFC dan penyelaras US Boats to Gaza.
“Apabila negara-negara gagal, rakyat mesti bertindak. Inilah masanya untuk memperhebatkan perjuangan, memperluas barisan dan menukar kemarahan kolektif kepada tindakan global yang tidak dapat dihentikan,” katanya.
Sementara itu, wakil Ship to Gaza Denmark, Bent Erik Krøyer, menegaskan bahawa pelayaran Freedom Flotilla pada 2026 bukan sekadar simbolik.
“Freedom Flotilla akan belayar pada 2026 sebagai satu deklarasi berani. Masyarakat sivil tidak akan berdiam diri melihat Gaza dicekik dan dimusnahkan. Kami sedang menyediakan lebih banyak kapal, penyertaan antarabangsa yang lebih luas dan tindakan terselaras yang paling besar setakat ini,” katanya.
Pada tahun 2025, dua inisiatif baharu telah menyertai gabungan itu iaitu Global Sumud Flotilla (GSF) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG), yang menyumbang kepada peningkatan jumlah kapal ke tahap tertinggi dalam sejarah operasi FFC.
Bagi 2026, FFC merancang untuk terus memperluas armada, meningkatkan penglibatan antarabangsa serta menyelaras advokasi dengan parlimen, kesatuan sekerja dan kumpulan masyarakat sivil di seluruh dunia.
Gabungan itu menegaskan bahawa Gaza kini memerlukan tindakan global lebih daripada sebelumnya, sambil menekankan bahawa tahun 2026 akan menyaksikan kempen paling luas dalam sejarah Freedom Flotilla, merangkumi operasi laut, tekanan politik dan media, serta mobilisasi awam di peringkat global.-The Merdeka Times