Antarabangsa
AS ugut ICC dengan sekatan baharu jika siasat Trump atau Israel
- Menurut laporan yang didedahkan Reuters, pentadbiran Trump turut menuntut supaya ICC menutup siasatan terhadap ahli politik Israel berhubung perang Gaza, yang telah diiktiraf sebagai genosid oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ahli akademik dan sejarawan.
- Sumber pentadbiran itu memberitahu Reuters bahawa sekiranya ICC tidak akur, mahkamah tersebut mungkin berdepan tindakan sekatan baharu, termasuk terhadap kakitangannya dan institusi ICC sendiri.
AMERIKA SYARIKAT — Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dilapor mengeluarkan amaran keras kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dengan mengugut mengenakan sekatan tambahan kecuali mahkamah itu meminda statut asasnya supaya tidak boleh menyiasat Trump serta pegawai kanan pentadbirannya. Laporan itu didedahkan Reuters yang memetik sumber tidak dinamakan.
Menurut laporan, pentadbiran Trump turut menuntut supaya ICC menutup siasatan terhadap ahli politik Israel berhubung perang Gaza, yang telah diiktiraf sebagai genosid oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ahli akademik dan sejarawan.
Washington juga mahu ICC menamatkan penyiasatan berkaitan potensi jenayah perang oleh tentera AS di Afghanistan.
Sumber pentadbiran itu memberitahu Reuters bahawa sekiranya ICC tidak akur, mahkamah tersebut mungkin berdepan tindakan sekatan baharu, termasuk terhadap kakitangannya dan institusi ICC sendiri.
Pegawai yang sama enggan mengulas sama ada pentadbiran Trump bimbang ICC menyiasat siri serangan agresif dan membawa maut terhadap bot-bot yang dituduh terlibat dalam pengedaran dadah di Caribbean, serangan yang dilaporkan mengorbankan sekurang-kurangnya 80 orang.
ICC dalam responsnya kepada Reuters memaklumkan mereka belum menerima sebarang permintaan untuk menyiasat serangan AS terhadap Venezuela.
Laporan Middle East Eye (MEE) sebelum ini mendedahkan bahawa badan pemantau ICC menolak desakan AS supaya mahkamah menggugurkan siasatan terhadap jenayah perang Israel serta meminda Statut Rom agar penduduk negara yang tidak mengiktiraf bidang kuasa ICC tidak boleh didakwa.
Menurut para diplomat pada pertemuan Assembly of States Parties(ASP) minggu lalu, pentadbiran Trump cuba meningkatkan tekanan dengan mensyaratkan supaya ICC menggugurkan penyiasatan di Palestin dan Afghanistan sebagai pertukaran kepada penarikan sekatan.
AS juga menggesa ahli-ahli ICC meminda Statut Rom bagi menghalang tindakan undang-undang terhadap warga negara bukan penandatangan, langkah yang secara langsung memberi kekebalan kepada rakyat Amerika dan Israel.
Amerika Syarikat dan Israel bukan negara pihak kepada Statut Rom.
Perubahan seperti itu juga akan menamatkan siasatan ICC terhadap dakwaan jenayah perang oleh Rusia di Ukraine, kerana Rusia juga bukan anggota ICC.
Sejak Februari, pentadbiran Trump telah mengenakan sekatan kewangan dan visa ke atas pendakwa ICC, dua timbalannya, enam hakim, pelapor khas PBB mengenai Palestin, serta tiga organisasi bukan untung Palestin.-The Merdeka Times