Terkini
Kenyataan Ahli Parlimen Kepong disifatkan rakus dan mementingkan diri, wajar mohon maaf
- Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata pandangan Lim Lip Eng merupakan satu hujah yang dangkal dan tidak berpaksikan realiti sosial.
- Beliau menegaskan, larangan meminum alkohol di tempat awam bukan perkara baharu, malah diamalkan kebanyakan negara di seluruh dunia bagi menjaga ketenteraman awam dan mengelak gejala mabuk yang boleh mendatangkan bahaya kepada orang ramai.
- Sementara itu, penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Kartini Aboo Talib berkata menyifatan kenyataan Ahli Parlimen Kepong itu disifatkan sebagai kurang sensitif dan tidak cukup ilmu.
KUALA LUMPUR – Kenyataan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng mengenai pengambilan minuman beralkohol sebagai hak individu bukan Islam dan larangan mengenainya tidak demokratik dilihat sebagai sikap rakus dan mementingkan diri.
Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata pandangan Lim Lip Eng merupakan satu hujah yang dangkal dan tidak berpaksikan realiti sosial.
“Kenyataan itu memperlihat sikap rakus, ini kerana penghujahan sedemikian mementingkan diri sendiri sahaja.
“Ia langsung tidak memberi pertimbangan kepada mereka yang tidak mengambil minuman beralkohol,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times hari ini.
Beliau menegaskan, larangan meminum alkohol di tempat awam bukan perkara baharu, malah diamalkan kebanyakan negara di seluruh dunia bagi menjaga ketenteraman awam dan mengelak gejala mabuk yang boleh mendatangkan bahaya kepada orang ramai.
“Lebih teruk lagi ialah beliau langsung tidak mahu mempedulikan tentang gejala mabuk yang sering berlaku ekoran pengambilan minuman beralkohol.
“Sehubungan ini, gejala mabuk ini bukan sahaja mengganggu kenteraman awam, ia sangat berbahaya kerana boleh menyebabkan banyak perkara yang tidak diingini, antaranya keganasan dan kecederaan,” tegasnya.
Beliau turut menambah bahawa pengambilan alkohol dalam ruang sempit seperti pesawat boleh menimbulkan risiko keselamatan yang besar hingga boleh menyebabkan kejadian mendarat cemas.
“Kenyataan itu tidak dapat dinafikan, langsung tidak sensitif kepada semua pihak, termasuk kepada yang bukan Islam, apatah lagi yang beragama Islam.
“Ini kerana ia sama sekali gagal memahami kemudaratan perbuatan mengambil minuman beralkohol di tempat awam, khususnya dalam ruangan yang sempit seperti dalam pesawat,” jelasnya.
Mengulas lanjut beliau berkata isu terbabit seharusnya dibincangkan dengan lebih bijaksana dan berpaksikan pertimbangan sosial serta budaya yang wajar, terutama oleh wakil rakyat yang diamanahkan menggubal undang-undang di Dewan Rakyat.
“Sepatutnya ia dibincangkan dengan cara yang lebih pintar, khususnya dari segi implikasi sosial dengan memberi pertimbangan sosial dan budaya yang wajar.
“lebih-lebih lagi di tempat semulia Dewan Rakyat dan pula oleh mereka yang diamanahkan untuk menggubal undang-undang negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan cadangan agar pihak tertentu menubuhkan syarikat penerbangan yang melarang minuman beralkohol sebagai satu kenyataan yang bukan sahaja biadap, malah juga bebal, serta mendesak agar Lim Lip Eng memohon maaf secara terbuka di atas kenyataan berhubung pengambilan minnuman beralkohol serta cadangan beliau.
Sementara itu, penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Kartini Aboo Talib berkata menyifatan kenyataan Ahli Parlimen Kepong itu disifatkan sebagai kurang sensitif dan tidak cukup ilmu.
Menurut Kartini, minuman beralkohol mempunyai implikasi yang buruk baik dari segi kesihatan sehingga mampu meragut nyawa.
Kartini turut memberitahu, jika pengambilan arak dianggap sebagai hak peribadi, hak itu sepatutnya terhad dalam ruang privasi dan bukan di tempat awam.
“Arak mempunyai banyak impak keburukan dari segi kesihatan, dan jika diambil berlebihan boleh berlaku kemalangan yang tidak diduga serta boleh menggugat nyawa.
“Pengambilan minuman keras jika Ahli Parlimen Kepong kata ia adalah hak peribadi, maka hak itu wajarnya tertutup sebab peribadi itu adalah ‘privacy’ dan bukannya di ruang awam,” tegasnya. – The Merdeka Times