Antarabangsa
Wanita dakwa alat pencegah kehamilan dimasukkan tanpa izin di Hospital Kasturba, Delhi
- Sinky Rajouria, ibu muda itu, hanya menyedari perkara tersebut apabila mengalami kesakitan dan mendapati seutas benang tergantung dari tubuhnya.
- “Kami terkejut dan kecewa kerana prosedur ini dilakukan tanpa izin. Lebih mengecewakan, hospital enggan bertanggungjawab serta menolak memberikan rawatan susulan,” katanya.
NEW DELHI – Seorang wanita mendakwa pihak Hospital Kasturba di Delhi telah memasukkan alat pencegah kehamilan (copper T) ke dalam tubuhnya tanpa pengetahuan dan tanpa persetujuan selepas melahirkan anak melalui pembedahan Caesarean pada 28 Julai lalu.
Sinky Rajouria, ibu muda itu, hanya menyedari perkara tersebut apabila mengalami kesakitan dan mendapati seutas benang tergantung dari tubuhnya.
Suaminya, Pawan Singh Rajouria berkata mereka kembali ke hospital untuk rawatan, namun doktor enggan membantu dengan alasan tiada peralatan dan menyarankan supaya mereka mendapatkan rawatan di hospital swasta.
“Kami terkejut dan kecewa kerana prosedur ini dilakukan tanpa izin. Lebih mengecewakan, hospital enggan bertanggungjawab serta menolak memberikan rawatan susulan,” katanya.
Apabila Pawan membawa perkara itu kepada pengetahuan pengarah perubatan hospital, aduannya tidak diendahkan dan beliau tidak diminta mengemukakan sebarang laporan rasmi.
Pihak pengurusan Hospital Kasturba dan Perbadanan Perbandaran Delhi (MCD) enggan memberikan sebarang komen berhubung kes tersebut.
Keluarga berkenaan menegaskan mereka berasa teraniaya kerana selain dimasukkan alat pencegah kehamilan secara tidak sah, mereka turut dilayan buruk serta dinafikan rawatan sewajarnya di hospital tersebut.-The Merdeka Times