Connect with us

Terkini

‘Roblox didakwa digunakan kumpulan pedofil’ – bekas penyelidik Meta

Published

on

Foto: Gambar Sekadar Hiasan.
  • Pendedahan itu dibongkar seorang bekas penyelidik keselamatan Meta kepada jawatankuasa Senat Amerika Syarikat.
  • “Mereka menubuhkan kelab tarian bogel dan membayar kanak-kanak untuk menanggalkan pakaian menggunakan Roblox, mata wang aplikasi itu yang boleh ditukar kepada wang sebenar,” kata Cayce Savage.
  • Savage berkata beliau telah memberi amaran kepada Meta bahawa “dalam apa jua keadaan sekalipun” Roblox tidak sepatutnya dijadikan pilihan program pada set kepala VR mereka.

WASHINGTON – Platform permainan kanak-kanak Roblox didakwa digunakan kumpulan pedofil terancang untuk mengeksploitasi kanak-kanak.

Pendedahan itu dibongkar seorang bekas penyelidik keselamatan Meta kepada jawatankuasa Senat Amerika Syarikat.

“Mereka menubuhkan kelab tarian bogel dan membayar kanak-kanak untuk menanggalkan pakaian menggunakan Roblox, mata wang aplikasi itu yang boleh ditukar kepada wang sebenar,” kata Cayce Savage yang dilaporkan BBC News.

Savage berkata beliau telah memberi amaran kepada Meta bahawa “dalam apa jua keadaan sekalipun” Roblox tidak sepatutnya dijadikan pilihan program pada set kepala VR mereka.

“Namun, Roblox masih tersedia dalam kedai aplikasi VR Meta,” katanya.

Roblox bagaimanapun menafikan keras dakwaan tersebut dalam kenyataan kepada BBC, menyifatkannya “berasaskan maklumat yang tidak tepat dan sudah lapuk.”

Pendedahan mengejutkan ini dibuat dalam sesi perbicaraan Senat bersama dua bekas penyelidik Meta, Cayce Savage dan Jason Sattizahn.

Mereka turut mendakwa Meta menyembunyikan potensi bahaya terhadap kanak-kanak daripada produk realiti maya (VR) syarikat itu.

“Meta telah memilih untuk mengabaikan masalah yang mereka cipta dan menimbus bukti pengalaman negatif pengguna,” kata Sattizahn.

Kedua-dua penyelidik mendakwa Meta mengarahkan agar bukti risiko penderaan seksual dipadam serta meminta penyelidik mengelak daripada menjalankan kajian yang boleh mendedahkan bahaya VR terhadap kanak-kanak.

Meta – syarikat induk kepada Facebook, Instagram, dan WhatsApp – menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai “tidak masuk akal.”

Syarikat itu menegaskan dakwaan tersebut “berasaskan dokumen dalaman yang dibocorkan secara terpilih untuk membentuk naratif palsu.”

Namun, Sattizahn yang bekerja di Meta dari 2018 hingga 2024, menolak penjelasan syarikat itu, menyifatkannya sebagai “pembohongan dengan mengelak” dan menegaskan penyelidikan sedang “dihalang dan dimanipulasi.” – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author