Antarabangsa
Lebih 2,000 terbunuh: GHF hanya ‘topeng Israel’ tutup penindasan di Gaza
- Lebih 2,000 penduduk Palestin dilaporkan terbunuh ketika menuju atau berhampiran pusat agihan itu, manakala ribuan lagi cedera.
- Pemerhati antarabangsa menyifatkan keadaan kucar-kacir yang berlaku bukan sekadar kelemahan, tetapi strategi tersusun untuk menolak penduduk Gaza lebih jauh ke selatan.
- Menurut angka GHF sendiri, sebanyak 152 juta bekalan makanan diagih dalam tempoh tiga setengah bulan sehingga 3 September, jumlah yang hanya memenuhi kurang daripada 25 peratus keperluan penduduk Gaza.
GAZA – Menurut laporan antarabangsa, Gaza Humanitarian Foundation (GHF) digambarkan sebagai “topeng” bagi membolehkan Israel mendakwa bantuan telah memasuki Gaza, sedangkan realitinya pusat agihan yang diwujudkan sering menjadi perangkap maut.
Lebih 2,000 penduduk Palestin dilaporkan terbunuh ketika menuju atau berhampiran pusat agihan itu, manakala ribuan lagi cedera.
Keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada GHF benar-benar berfungsi sebagai saluran kemanusiaan atau sekadar alat propaganda Israel.
GHF mengendalikan empat lokasi agihan. Satu di tengah Gaza dan tiga di Selatan, kawasan yang berada di bawah kawalan tentera Israel serta dijaga firma keselamatan swasta dari Amerika Syarikat.
Waktu operasi pusat ini tidak tetap, kadangkala kurang 20 minit, manakala pengumuman hanya dibuat di laman Facebook GHF.
Majoriti penduduk Gaza yang terputus elektrik dan internet gagal mendapatkan maklumat tepat, sekali gus menjadikan usaha mendapatkan bantuan sebagai pertaruhan nyawa.
Pemerhati antarabangsa menyifatkan keadaan kucar-kacir yang berlaku bukan sekadar kelemahan, tetapi strategi tersusun untuk menolak penduduk Gaza lebih jauh ke selatan.
Ribuan terpaksa berhimpun berjam-jam dalam keadaan tidak menentu, sebelum berebut bantuan yang ditinggalkan tanpa kawalan.
Menurut angka GHF sendiri, sebanyak 152 juta bekalan makanan diagih dalam tempoh tiga setengah bulan sehingga 3 September, jumlah yang hanya memenuhi kurang daripada 25 peratus keperluan penduduk Gaza.
Sebahagian bekalan akhirnya dijual semula di pasaran dengan harga melambung.
Dakwaan lebih mengejutkan ialah kegagalan UG Solutions, firma keselamatan yang dilantik, menyaring pengawal bersenjata. Malah ada yang masuk ke Gaza menggunakan visa pelancong, tetapi dibekalkan senjata automatik serta diberi kuasa melepaskan tembakan terhadap orang awam.
Tiada peraturan operasi jelas diberikan, dan komunikasi dengan penduduk hampir mustahil kerana hanya seorang jurubahasa ditempatkan di setiap lokasi.
Keadaan ini menimbulkan tanda tanya besar, adakah GHF benar-benar sebuah organisasi kemanusiaan, atau hanya perisai untuk Israel menutup strategi menekan rakyat Palestin melalui penderitaan yang berpanjangan? -The Merdeka Times