Antarabangsa
9 kepala babi ditemui di Masjid Paris, Islamofobia di Perancis memuncak
- Ketua Polis Paris, Laurent Nuñez berkata empat kepala babi ditemui di sekitar ibu kota, manakala lima lagi di kawasan pinggir bandar. Pihaknya tidak menolak kemungkinan lebih banyak penemuan akan dibuat.
- “Polis telah membuka siasatan atas kesalahan menghasut kebencian yang diperburuk oleh diskriminasi kaum atau agama. Perbuatan ini amat menjijikkan,” katanya dalam sidang media.
PARIS – Sekurang-kurangnya sembilan kepala babi ditemui di hadapan beberapa buah masjid sekitar wilayah Paris pada Selasa, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap peningkatan kebencian anti-Islam di Perancis.
Ketua Polis Paris, Laurent Nuñez berkata empat kepala babi ditemui di sekitar ibu kota, manakala lima lagi di kawasan pinggir bandar.
Pihaknya tidak menolak kemungkinan lebih banyak penemuan akan dibuat.
“Polis telah membuka siasatan atas kesalahan menghasut kebencian yang diperburuk oleh diskriminasi kaum atau agama. Perbuatan ini amat menjijikkan,” katanya dalam sidang media.
Pihak pendakwa raya Paris pula mengesahkan beberapa kepala babi tersebut turut diconteng dengan nama Presiden Emmanuel Macron menggunakan dakwat biru.
Nuñez berkata terdapat kemungkinan insiden ini mempunyai kaitan dengan campur tangan asing, namun beliau menggesa agar “berhati-hati” dalam membuat kesimpulan.
Pada Jun lalu, tiga individu berbangsa Serbia didakwa atas perbuatan vandalisme ke atas tapak Yahudi, yang disyaki mempunyai sokongan dari Rusia.
Perancis merupakan negara dengan komuniti Muslim terbesar di Kesatuan Eropah, selain populasi Yahudi kedua terbesar di dunia selepas Israel dan Amerika Syarikat.
Menurut Agensi Hak Asasi Kesatuan Eropah (EU), sejak tercetusnya perang Gaza pada Oktober 2023, beberapa negara EU melaporkan peningkatan kebencian anti-Islam dan antisemitisme.
Di Perancis sahaja, insiden anti-Muslim meningkat sebanyak 75 peratus antara Januari hingga Mei 2025 berbanding tahun sebelumnya, dengan serangan terhadap individu meningkat tiga kali ganda, menurut Kementerian Dalam Negeri pada Julai lalu.
Insiden di sekitar Paris itu menerima kecaman segera daripada pemimpin politik dan komuniti. Macron sendiri bertemu wakil komuniti Muslim di Paris bagi menyatakan solidaritinya.
Datuk Bandar Paris, Anne Hidalgo berkata pihaknya telah mengambil tindakan undang-undang, menyifatkan ia sebagai “tindakan rasis”.
Menteri Dalam Negeri, Bruno Retailleau turut mengecam keras insiden itu sebagai “melampau” dan “tidak boleh diterima sama sekali.”
“Saya mahu rakyat Muslim di negara ini dapat mengamalkan agama mereka dengan aman,” katanya.
Rektor Masjid Besar Paris, Chems-Eddine Hafiz, menyifatkan tindakan tersebut sebagai “Islamofobia” dan “satu tahap baharu yang menyedihkan dalam peningkatan kebencian anti-Muslim.”
Ketua pertubuhan anti-diskriminasi Addam, Bassirou Camara pula melahirkan kebimbangan terhadap potensi eskalasi.
“Kami telah nyatakan amaran sejak berbulan-bulan, tetapi suara kami tidak diendahkan. Apakah langkah seterusnya adalah melontar kepala babi kepada jemaah atau menyerang mereka secara fizikal?” soalnya.
Siasatan lanjut masih dijalankan oleh pihak berkuasa Perancis.-The Merdeka Times