Terkini
Pegawai penyiasat kes Zara Qairina tak patuh prosedur, Tidak mohon bedah siasat – Pengarah JSJ
- “Ketidakpatuhan di sini ialah pegawai penyiasat tidak memohon untuk bedah siasat pada peringkat awal, sedangkan itu adalah asas siasatan sekiranya kematian menimbulkan keraguan,” kata Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M Kumar S Muthuvelu.
- Kumar memaklumkan semakan mendapati ibu mangsa menandatangani dokumen hospital ‘Akuan Enggan Bedah Siasat Mayat Atas Kemahuan Sendiri’ yang turut disahkan doktor patologi dan pegawai penyiasat terbabit.
- “Walaupun ada permohonan keluarga untuk tidak menjalankan bedah siasat, undang-undang memberi kuasa kepada pegawai penyiasat untuk memohon prosedur itu sekiranya terdapat keraguan terhadap punca kematian,” katanya.
- “Dapatan bedah siasat kedua adalah selari dengan diagnosis awal, iaitu kecederaan otak teruk akibat kekurangan oksigen dan aliran darah ke otak berpunca daripada jatuh,” kata Kumar.
KUALA LUMPUR — Hasil siasatan pasukan Task Force Bukit Aman mendapati terdapat ketidakpatuhan kepada prosedur siasatan membabitkan kes kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar S Muthuvelu dilapor berkata hasil penemuan awal mendapati terdapat ketidakpatuhan kepada prosedur siasatan di mana pegawai penyiasat tidak membuat permohonan untuk proses bedah siasat, walaupun mempunyai kuasa berbuat demikian di bawah undang-undang.
Beliau berkata prosedur operasi standard (SOP) jelas mewajibkan bedah siasat dilakukan sekiranya punca kematian tidak diketahui atau wujud elemen mencurigakan.
Sehubungan itu, katanya tindakan tegas akan diambil terhadap pegawai penyiasat dan penyelianya kerana gagal melaksanakan tanggungjawab dan perkara itu masih di peringkat siasatan.
“Ketidakpatuhan di sini ialah pegawai penyiasat tidak memohon untuk bedah siasat pada peringkat awal, sedangkan itu adalah asas siasatan sekiranya kematian menimbulkan keraguan,” katanya dipetik media tempatan hari ini.
Dalam masa sama, Kumar memaklumkan bahawa semakan mendapati ibu mangsa menandatangani dokumen hospital ‘Akuan Enggan Bedah Siasat Mayat Atas Kemahuan Sendiri’ yang turut disahkan doktor patologi dan pegawai penyiasat terbabit.
“Walaupun ada permohonan keluarga untuk tidak menjalankan bedah siasat, undang-undang memberi kuasa kepada pegawai penyiasat untuk memohon prosedur itu sekiranya terdapat keraguan terhadap punca kematian,” katanya.
Beliau berkata, selepas perbincangan bersama agensi berkaitan pada 10 Ogos lalu, bedah siasat dijalankan atas permintaan polis, disertai tiga doktor dari Hospital Serdang dan Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.
“Dapatan bedah siasat kedua adalah selari dengan diagnosis awal, iaitu kecederaan otak teruk akibat kekurangan oksigen dan aliran darah ke otak berpunca daripada jatuh,” katanya.
Kumar berkata, semua dapatan bedah siasat dijelaskan kepada keluarga mangsa secara telus dan difahami bahawa prosedur ini sepatutnya dilakukan sebaik sahaja kematian berlaku bagi memastikan bukti forensik tidak terjejas.
Jelasnya juga, siasatan kini berjalan dalam dua hala tuju, iaitu permohonan inkues kepada koroner dan siasatan jenayah termasuk elemen buli, selari dengan Seksyen 507(2) Kanun Keseksaan.
Terdahulu, Jabatan Peguam Negara (AGC) dilaporkan memutuskan untuk menjalankan inkues bagi menentukan punca dan sebab kematian Zara Qairina Mahathir.
AGC dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu dibuat selepas meneliti laporan siasatan dikemukakan Polis Diraja Malaysia berhubung kes membabitkan pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha itu semalam.
Pada 8 Ogos lalu, AGC memaklumkan bahawa mayat Zara Qairina, 13, perlu digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah pelajar berkenaan.
AGC berpendapat terdapat keperluan untuk siasatan lanjut oleh PDRM demi memastikan siasatan dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
Berikutan itu, pada Sabtu lalu, jenazah remaja tersebut digali semula di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang, serta dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I untuk proses bedah siasat sebelum selamat dikebumikan semula awal pagi Isnin di tanah perkuburan sama.
Zara Qairina, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai lalu selepas dibawa ke hospital berkenaan berikutan ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 4 pagi, 16 Julai.
Sejak kejadian, pelbagai spekulasi dan teori tular di media sosial termasuk dakwaan membabitkan unsur jenayah dan buli. — The Merdeka Times