Politik
Peruntukan bukan Bumiputera: Agihan kekayaan berasaskan kaum pendekatan lapuk – Ahli Parlimen PKR

- Ahli Parlimen Pasir Gudang dari PKR, Hassan Abdul Karim menyifatkan pendekatan agihan kekayaan ekonomi berdasarkan compartment atau perbezaan kaum adalah satu pendekatan lapuk yang sudah ketinggalan zaman.
- Pendekatan relevan ketika ini ialah agihan kekayaan ekonomi yang adil bagi setiap rakyat tanpa mengira kaum di mana kelompok bukan Bumiputera yang miskin, berpendapatan rendah, tercicir dan terpinggir dibantu dan disediakan peruntukan dana belanjawan yang cukup bagi mereka.
- Tindakan itu dilakukan bukan kerana mereka bukan Bumiputera tetapi kerana mereka adalah warganegara yang berhak mendapatkan keadilan ekonomi dan keadilan sosial, begitu juga apabila ramai kelompok Bumiputera yang masih berdepan situasi sama mereka wajar dibantu dan diangkat taraf hidup mereka.
- Hassan berkata demikian kepada The Merdeka Times pada Selasa ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng yang dilapor meminta Kerajaan MADANI menaikkan peruntukan kepada kaum bukan Bumiputera daripada tiga peratus kepada 10 peratus daripada jumlah keseluruhan peruntukan diterima komuniti Bumiputera.
KUALA LUMPUR — Ahli Parlimen Pasir Gudang dari PKR, Hassan Abdul Karim menyifatkan pendekatan agihan kekayaan ekonomi berdasarkan compartment atau perbezaan kaum adalah satu pendekatan lapuk yang sudah ketinggalan zaman.
Bagi Hassan pendekatan relevan ketika ini ialah agihan kekayaan ekonomi yang adil bagi setiap rakyat tanpa mengira kaum di mana kelompok bukan Bumiputera yang miskin, berpendapatan rendah, tercicir dan terpinggir dibantu dan disediakan peruntukan dana belanjawan yang cukup bagi mereka.
Tindakan itu, menurut beliau dilakukan bukan kerana mereka bukan Bumiputera tetapi kerana mereka adalah warganegara yang berhak mendapatkan keadilan ekonomi dan keadilan sosial, begitu juga apabila ramai kelompok Bumiputera yang masih berdepan situasi sama mereka wajar dibantu dan diangkat taraf hidup mereka.
“Negara Malaysia ekonominya berkembang maju….KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) meningkat…Kekayaan negara juga bertambah dari tahun ke tahun.
“Ahli politik dan juga kerajaan perlu berubah fikirannya dalam usaha membina sebuah negara pelbagai kaum yang bersatu.
“Isu yang kita hadapi sekarang bukannya kaum Bumiputera atau kaum bukan Bumiputera dapat berapa banyak peruntukan dana dari kerajaan dalam belanjawan negara… Pendekatan agihan kekayaan ekonomi berdasarkan compartment kaum-kaum adalah satu pendekatan lapuk yang sudah ketinggalan zaman.
“Pendekatan yang relevan sekarang ialah agihan kekayaan ekonomi yang adil bagi setiap rakyat negara ini tanpa mengira kaum,” katanya kepada The Merdeka Times di sini pada Selasa.
Hassan berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng yang dilapor meminta Kerajaan MADANI menaikkan peruntukan kepada kaum bukan Bumiputera daripada tiga peratus kepada 10 peratus daripada jumlah keseluruhan peruntukan diterima komuniti Bumiputera.
Memberikan contoh, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, dalam Belanjawan 2022, sebanyak RM11.4 bilion diperuntukan kepada kaum Bumiputera tetapi pada masa sama hanya RM345 juta diperuntukkan kepada kelompok bukan Bumiputera iaitu sekadar tiga peratus daripada apa diberikan kepada kaum Bumiputera.
Kenaikan itu dilihat perlu kerana ia berupaya membantu merancakkan pembangunan ekonomi. — The Merdeka Times
