Connect with us

Terkini

Penyelidik bimbang soalan MP dan jawapan kementerian tidak gambar isu sebenar sektor pendidikan negara

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM), Dr Anuar Ahmad
  • Menurut Dr Anuar Ahmad yang juga Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM), jawapan diberikan pihak berkenaan juga berdasarkan data-data pendidikan yang lebih bersifat ‘bermain di dalam kotak lama’ dan menggambarkan pemikiran pendidikan ketinggalan.
  • Beliau berkata terdapat tiga contoh untuk menunjukkan ‘betapa tertinggalnya’ minda pemimpin pendidikan negara dalam hal ini iaitu yang pertama melibatkan isu vape di mana data rasmi KKM jelas menunjukkan masalah vape di kalangan kanak-kanak dan remaja di negara ini sangat serius.
  • “Jelas vape bukan isu kecil lagi. Bukan sekadar 0.38 peratus seperti yang dibentangkan Timbalan Menteri KPM… Data yang dibentangkan jelas tidak menggambarkan keadaan sebenarnya,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis lalu.
  • Contoh kedua adalah berkenaan isu keciciran di mana ia bentangkan di Parlimen bahawa keciciran pendidikan semakin menurun iaitu hanya 0.06 peratus di sekolah rendah dan 0.64 peratus di sekolah menengah, sedangkan terdapat dua jenis keciciran pendidikan iaitu keciciran persekolahan dan keciciran pembelajaran.
  • Menurut Anuar, angka dibentangkan di Parlimen itu ialah keciciran persekolahan yang memang telah lama terkawal di negara kita dan yang menjadi isu keciciran sekarang ialah isu keciciran pembelajaran iaitu keciciran 3M, ponteng sekolah, keciciran persijilan SPM.

KUALA LUMPUR — Seorang penyelidik pendidikan meluahkan kebimbangan melihat soalan dari ahli parlimen dan jawapan dari kementerian berkaitan pendidikan tidak menggambarkan isu sebenar dalam sektor pendidikan negara.

Menurut Dr Anuar Ahmad yang juga Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM), jawapan diberikan pihak berkenaan juga berdasarkan data-data pendidikan yang lebih bersifat ‘bermain di dalam kotak lama’ dan menggambarkan pemikiran pendidikan ketinggalan.

Beliau berkata terdapat tiga contoh untuk menunjukkan ‘betapa tertinggalnya’ minda pemimpin pendidikan negara dalam hal ini iaitu yang pertama melibatkan isu vape di mana data rasmi KKM jelas menunjukkan masalah vape di kalangan kanak-kanak dan remaja di negara ini sangat serius.

“Pada 2017, kadarnya ialah 9.8 peratus… Meningkat hampir 50 peratus pada tahun 2022 kepada 14.9 peratus.

“Jika tidak ada usaha yang bersungguh-sungguh untuk membenteras isu vape, bayangkan 5 tahun dari sekarang? Mungkin akan meningkat lebih 20 peratus… Maksudnya, akan berlaku keadaan di mana seorang bagi setiap 5 orang anak-anak kita adalah perokok vape, termasuk anak-anak perempuan.

“Bayangkan pula kos ratusan juta ringgit dari peruntukan kesihatan rakyat yang terpaksa disediakan kerajaan dari kutipan cukai untuk menguruskan pesakit akibat tabiat vape!

“Jelas vape bukan isu kecil lagi. Bukan sekadar 0.38 peratus seperti yang dibentangkan Timbalan Menteri KPM… Data yang dibentangkan jelas tidak menggambarkan keadaan sebenarnya,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis lalu.

Foto: Poster dimuat naik Dr Anuar Ahmad di Facebook.

Mengulas lanjut, Anuar berkata contoh kedua adalah berkenaan isu keciciran di mana ia bentangkan di Parlimen bahawa keciciran pendidikan semakin menurun iaitu hanya 0.06 peratus di sekolah rendah dan 0.64 peratus di sekolah menengah, sekali gus menyaksikan Ahli Parlimen menerima sahaja ‘data dalam kotak’ itu, sedangkan terdapat dua jenis keciciran pendidikan iaitu keciciran persekolahan dan keciciran pembelajaran.

Menurut Anuar, angka dibentangkan di Parlimen itu ialah keciciran persekolahan yang memang telah lama terkawal di negara kita dan yang menjadi isu keciciran sekarang ialah isu keciciran pembelajaran iaitu keciciran 3M, ponteng sekolah, keciciran persijilan SPM.

Tegasnya, keciciran pembelajaran itulah yang semakin kritikal sekarang dan bukannya lagi isu keciciran persekolahan yang telah lama terkawal di mana Bank Dunia juga sudah lama melaporkan sejak 2013 lagi, enrolmen murid di Malaysia adalah cemerlang dan berada di atas purata negara di dunia apabila mencecah lebih 90 peratus pada 2012.

Foto: Infografik dimuat naik Dr Anuar Ahmad di Facebook.

“Malangnya, sejak 2013 juga, Bank Dunia telah melaporkan isu keciciran pembelajaran di Malaysia semakin meningkat.. Bukti dari keputusan PISA 2022 dan TIMSS jelas menunjukkan memang berlaku kemerosotan pencapaian murid kita.

“Sepatutnya ahli Parlimen bertanyalah soalan yang lebih penting tentang keciciran pembelajaran. Berapa ramai murid yang tidak boleh membaca, menulis dan mengira? Berapa ramai murid ponteng sekolah? Berapa ramai murid yang tidak dapat sijil SPM? Apa usaha yang telah dilakukan oleh KPM untuk mengekang keciciran pembelajaran? Berkesan atau tidak? Ahli Parlimen patut bertanya mana data dan bukti kejayaan KPM menangani keciciran pembelajaran yang telah dicapai?,” kata Anuar.

Beliau berkata contoh ketiga adalah berkenaan isu sekolah sesak yang menyaksikan Menteri Pendidikan masih menjawab isu sekolah satu sesi dengan mengatakan hampir semua sekolah di negara ini sudah menjadi sekolah satu sesi.

Foto: Tangkap layar artikel yang dimuat naik Dr Anuar Ahmad di Facebook.

“Seingat saya, isu sekolah satu sesi ini dasar dan strateginya telah lama ada. Sejak era Tan Sri Muhyidin sebagai Menteri Pendidikan lagi. Sekarang sekolah satu sesi bukan lagi isu besar dalam pendidikan negara.

“Yang menjadi isu besar sekarang ialah bilik darjah sesak murid. Apa gunanya semua sekolah menjadi satu sesi tetapi anak-anak murid terpaksa bersesak-sesak di dalam bilik darjah? Sepatutnya, itulah soalan yang mesti ditanya oleh ahli parlimen kepada Menteri KPM.

“Tanyalah, berapa jumlah kelas di negara ini telah mencapai 25 orang dalam satu kelas? Berapa kelas yang belum? Berapa pula kelas yang ada lebih 45 murid satu kelas? Apa kesan pada pembelajaran murid dalam kelas sesak? Cukupkah guru atau tidak?

“Apa perancangan KPM untuk memastikan 100% kelas di negara ini ini mencapai bilangan 25 murid satu kelas? Itulah soalan pendidikan yang patut ditanya oleh para ahli Parlimen,” katanya. — The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *