Antarabangsa
Netanyahu ikrar akan ‘selesaikan kerja’ hancurkan Iran dengan sokongan Trump

- “Dalam 16 bulan terakhir, Israel telah memberikan tamparan hebat kepada pakatan keganasan Iran. Di bawah kepimpinan kukuh Presiden Trump… Saya tidak ragu bahawa kita boleh dan akan ‘menyelesaikan kerja’ ini,” kata Netanyahu.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berikrar pada Ahad untuk ‘menyelesaikan kerja’ terhadap Iran dengan sokongan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Netanyahu membuat kenyataan itu semasa bercakap bersama Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio, yang sedang melakukan lawatan rasmi pertamanya ke Israel sejak memegang jawatan tersebut.
“Dalam 16 bulan terakhir, Israel telah memberikan tamparan hebat kepada pakatan keganasan Iran. Di bawah kepimpinan kukuh Presiden Trump… Saya tidak ragu bahawa kita boleh dan akan menyelesaikan kerja ini,” kata Netanyahu.
Setiausaha Negara AS, Rubio dalam pada itu menegaskan bahawa Iran tidak boleh memiliki senjata nuklear.
“Penting untuk kita sentiasa menekankan bahawa sama ada kita bercakap mengenai Hamas atau Hizbollah, keganasan di Tebing Barat, ketidakstabilan di Syria, atau masalah-masalah militan di Iraq, semuanya mempunyai satu tema yang sama di sebaliknya – Iran,” jelas Rubio.
“Ini mesti ditangani,” tambahnya lagi.
Menurut sumber, agensi perisikan AS baru-baru ini memberi amaran kepada kedua-dua pentadbiran Biden dan Trump bahawa Israel mungkin akan cuba menyerang kemudahan-kemudahan penting bagi program nuklear Iran pada tahun ini. – The Merdeka Times
