Antarabangsa
Kyrgyzstan kuatkuasa pengharaman niqab

- Pengharaman pemakaian niqab berkuatkuasa di Kyrgyzstan.
- Pengharaman melalui satu perintah oleh Presiden Sadyr Zaparov.
- Seseorang itu boleh didenda 20,000 som jika melanggar dekri itu.
- Langkah itu tidak meliputi Khidžab, tudung tanpa menutup muka.
BISHKEK – Kyrgyzstan menguatkuasakan larangan terhadap pemakaian niqab, pakaian yang menutup seluruh badan termasuk wajah bermula 1 Februari.
Larangan ini tidak melibatkan Khidžab, iaitu tudung kepala yang tidak menutup wajah. Kini, hanya dengan tampil di tempat awam memakai niqab, seseorang itu boleh dikenakan denda sebanyak 20,000 Som, bersamaan 230 Dolar Amerika.
Kontroversi mengenai pakaian wanita Muslim dan janggut panjang lelaki sudah lama menjadi tumpuan perbincangan di negara tersebut di mana kerajaan sekular berusaha keras untuk membendung peralihan kepada Islam radikal.
Ahli Parlimen Kyrgyzstan dari Žogorku Keneš telah menyatakan dengan tegas bahawa larangan ini penting atas alasan keselamatan, agar individu dapat dikenali melalui wajah mereka.
Pihak yang menentang larangan ini pula berpendapat bahawa ia mendiskriminasi hak wanita untuk memilih cara mereka berpakaian.
Larangan ini dimasukkan dalam pindaan undang-undang kebebasan beragama, yang ditandatangani oleh Presiden Sadyr Žaparov pada 21 Januari lalu. Walaupun niqab tidak dinyatakan dalam pindaan itu namun, undang-undang tersebut mewajibkan pengenalan diri dengan jelas melainkan terpaksa menutup seluruh badan atas sebab profesional atau kesihatan.
Kempen menentang pemakaian niqab ini dimulakan oleh Ahli Parlimen Šarapatkan Mažitova pada tahun 2023, selepas lawatannya ke wilayah Oš di selatan negara itu, di mana beliau terkejut dengan jumlah wanita yang memakai niqab.
Mažitova di parlimen juga menentang janggut panjang lelaki, yang dilihat sebagai simbol konservatisme agama, dan menyeru agar semua pihak bertindak terhadap ‘perbuatan’ yang dilihat sebagai ancaman terhadap keselamatan negara.
Pihak berkuasa agama di Kyrgyzstan yang didakwa mendapat tekanan kerajaan dilapor mengeluarkan kenyataan bahawa menurut ajaran agama Islam, wanita tidak diwajibkan untuk memakai niqab.- The Merdeka Times
