Terkini
Kerajaan digesa segera isytihar harta anggota pentadbiran, jangan berdolak-dalik – MCW

- Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) gesa kerajaan segera laksana pengisytiharan harta bagi semua anggota pentadbiran, termasuk Menteri, Timbalan Menteri, dan Setiausaha Politik, tanpa sebarang kelewatan tambahan.
- Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) pada 6 Julai 2023 sudah hampir setahun berlalu, namun sehingga kini pelaksanaannya masih belum dimuktamadkan.
- Kelewatan itu beri gambaran seolah-olah kerajaan tidak bersungguh-sungguh memastikan ketelusan dan integriti dalam pentadbiran.
- “Kerajaan tidak boleh terus berdolak-dalik kerana keengganan melaksanakan langkah ini hanya akan menimbulkan keraguan rakyat terhadap komitmen kerajaan dalam membanteras rasuah.
- “Dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara yang bebas rasuah, ketelusan dalam kepimpinan adalah langkah paling utama… Jika kerajaan benar-benar komited dengan agenda reformasi dan tatakelola baik, maka tiada sebab untuk melengahkan pelaksanaan pengisytiharan harta ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Khamis.
KUALA LUMPUR — Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa kerajaan untuk segera melaksanakan pengisytiharan harta bagi semua Anggota Pentadbiran, termasuk Menteri, Timbalan Menteri, dan Setiausaha Politik, tanpa sebarang kelewatan tambahan.
Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) pada 6 Julai 2023 sudah hampir setahun berlalu, namun sehingga kini pelaksanaannya masih belum dimuktamadkan.
Jais menegaskan pihaknya memandang serius kelewatan itu kerana ia memberi gambaran seolah-olah kerajaan tidak bersungguh-sungguh memastikan ketelusan dan integriti dalam pentadbiran.
“Pengisytiharan harta adalah langkah asas dalam memastikan akauntabiliti pemimpin serta mengelakkan penyalahgunaan kuasa dan pengumpulan kekayaan yang mencurigakan.
“MCW turut menekankan bahawa format baharu pengisytiharan harta yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) pada 8 Januari 2024 perlu segera dimuktamadkan dan dikuatkuasakan tanpa alasan.
“Kerajaan tidak boleh terus berdolak-dalik kerana keengganan melaksanakan langkah ini hanya akan menimbulkan keraguan rakyat terhadap komitmen kerajaan dalam membanteras rasuah.
“Dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara yang bebas rasuah, ketelusan dalam kepimpinan adalah langkah paling utama… Jika kerajaan benar-benar komited dengan agenda reformasi dan tatakelola baik, maka tiada sebab untuk melengahkan pelaksanaan pengisytiharan harta ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Khamis.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Malaysia Corruption Watch – MCW.
Beliau berkata MCW turut menggesa kerajaan menetapkan garis masa yang jelas bagi pelaksanaan pengisytiharan harta itu dan memastikan ia merangkumi butiran lengkap dan boleh diakses untuk semakan badan berkaitan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan masyarakat sivil.
“Sebagai tanda keseriusan, MCW akan menghantar surat terbuka kepada Perdana Menteri dan semua Menteri bagi menyatakan kebimbangan terhadap kelewatan ini dan mendesak agar ia segera dimaktubkan serta dilaksanakan tanpa sebarang kompromi,” katanya.
Sebelum ini, pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) Siri ke-17 yang diadakan pada 6 Julai 2023 dan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan telah bersetuju supaya pengisytiharan harta oleh Anggota Pentadbiran dikuatkuasakan semula setelah format baharu yang lebih komprehensif bagi pelaporan pengisytiharan harta ini ditambah baik. — The Merdeka Times
