Terkini
hMPV bukan virus baru, tidak perlu panik
- Human Metapneumovirus (hMPV) bukan virus baru sebaliknya ia telah dikenal pasti sejak 2001, kata Public Health Malaysia (PHM) ekoran laporan peningkatan kes hMPV di China, baru-baru ini, yang berkemungkinan menimbulkan kebimbangan orang ramai.
- PHM menerusi hantaran di Facebook semalam berkata kebanyakan individu juga telah terdedah kepada virus itu sejak kecil.
- BERNAMA hari ini melaporkan tiada keperluan untuk amaran awam atau panik mengenai hMPV kerana virus itu diketahui mempunyai pola pengulangan bermusim.
- Ahli virologi molekul di Sekolah Perubatan dan Sains Kesihatan Jeffrey Cheah Universiti Monash Malaysia, Prof Madya Dr B. Vinod berkata hMPV tidak mempunyai tahap jangkitan dan penyebaran tanpa gejala yang tinggi seperti mana COVID -19.
KUALA LUMPUR — Human Metapneumovirus (hMPV) bukan virus baru sebaliknya ia telah dikenal pasti sejak 2001, kata Public Health Malaysia (PHM) ekoran laporan peningkatan kes hMPV di China, baru-baru ini, yang berkemungkinan menimbulkan kebimbangan orang ramai.
PHM menerusi hantaran di Facebook semalam berkata kebanyakan individu juga telah terdedah kepada virus itu sejak kecil.
Bagi individu sihat, PHM berkata jangkitan hMPV biasanya hanya menunjukkan gejala ringan seperti selesema biasa.
Untuk langkah pencegahan, orang ramai dinasihatkan untuk mencuci tangan dengan sabun dan air, tutup mulut dan hidung semasa batuk atau bersin.
“Fokuskan pada menjaga kesihatan diri dan keluarga. Sekiranya mengalami gejala pernafasan, dapatkan rawatan awal, terutamanya bagi kanak-kanak kecil dan warga emas,” kata PHM.
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di negara ini, jangkitan hMPV tidak wajib dilaporkan atau dinotifikasikan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342].
Ia merupakan salah satu jangkitan saluran pernafasan disebabkan virus dalam keluarga Pneumoviridae.
Berdasarkan data Makmal Kesihatan Awam dan makmal hospital KKM, 327 sampel yang dikesan positif hMPV pada 2024 berbanding 225 sampel positif hMPV 2023.
BERNAMA hari ini melaporkan tiada keperluan untuk amaran awam atau panik mengenai hMPV kerana virus itu diketahui mempunyai pola pengulangan bermusim.
Ahli virologi molekul di Sekolah Perubatan dan Sains Kesihatan Jeffrey Cheah Universiti Monash Malaysia, Prof Madya Dr B. Vinod berkata hMPV tidak mempunyai tahap jangkitan dan penyebaran tanpa gejala yang tinggi seperti mana COVID -19.
Dr Vinod berkata walaupun China mencatatkan lonjakan penyakit pernafasan bermusim, termasuk hMPV, syncytial respiratory virus (RSV) dan influenza, tiada bukti menunjukkan ia boleh menyebabkan ancaman pandemik global seperti COVID-19.
Beliau berkata Malaysia mempunyai kes jangkitan hMPV dan virus pernafasan lain yang telah wujud sebelumnya dan kedatangan pelancong tidak mungkin mewujudkan patogen baharu atau yang tidak dikenali kecuali pemantauan mengenal pastinya.
hMPV secara umumnya hanya menyebabkan penyakit pernafasan ringan hingga sederhana, bagaimanapun, bagi kelompok berisiko tinggi, ia boleh menyebabkan keadaan yang teruk seperti bronkitis atau radang paru-paru. Jangkitan hMPV lebih kerap berlaku pada penghujung musim sejuk dan musim bunga, sama seperti influenza.
Mengulas gejala hMPV, Dr Vinod berkata jangkitan virus itu biasanya menyerupai selesema biasa yang mungkin, termasuk batuk, demam, hidung berair atau tersumbat, sakit tekak, nafas berbunyi, sesak nafas dan kadang kala ruam.
hMPV merebak terutamanya melalui sentuhan langsung dengan rembesan berjangkit seperti air liur, titisan pernafasan apabila seseorang yang dijangkiti batuk atau bersin dan/atau menyentuh permukaan yang tercemar dengan virus dan kemudian menyentuh mulut, hidung atau mata sebelum mencuci tangan. — The Merdeka Times