Agama
(VIDEO) Mega Street Dakwah MRM bantu bukan Islam lebih faham Muslim – Warga emas Cina
KUALA LUMPUR — Seorang warga emas bukan Islam berpandangan program Mega Street Dakwah 2024 anjuran Pertubuhan Mualaf Berbilang Bangsa (MRM) di ibu negara semalam membantu beliau untuk lebih memahami Muslim.
Toe Yong Teck, 76, dari Kuala Kangsar, Perak, berkata sebelum ini beliau kurang memahami tentang Muslim tetapi menerusi program itu beliau dapat peluang untuk lebih memahami kelompok Muslim, termasuk tentang prinsip agama Islam.
“Saya tak berapa faham (sebelum ini), saya lebih faham ini Muslim punya agama (dengan program dakwah ini) sama membaca sikit saya dah dia ada berminat membacalah sebab kawan saya ramai yang sudah convert to Muslim juga dari Kuala Kangsar, sama bila saya bersekolahlah saya ada minatlah membelajar lebih sikitlah untuk faham itu agama Muslim bagaimana dia punya cara principle macam macam.
“Saya sekarang tinggal di sini, saya merata selalu berjumpa saya punya kawan Tan (salah seorang team dakwah MRM) saya lebih faham dia punya itu pelajaran sahajalah lebih faham itu agama (Islam)…”
“Ini negeri sudah banyak kelam kabut banyak orang kasi Muslim nama itu busuk nak rosak itu nama, saya ingat ini tak adil itu berita palsu, bohong cakap… rosak dia punya nama saya nampak ini tak betul lah,” kata Yong Teck ditemubual The Merdeka Times di sini selepas beliau berinteraksi dengan pendakwah MRM di program Mega Street Dakwah 2024 di Bukit Bintang.
Yong Teck berkata demikian ketika ditanya apakah pandangan beliau tentang program itu dan apakah ia patut diteruskan pada masa akan datang.
Rata-rata peserta dari kalangan pelajar IPTA, IPTS dan sukarelawan Mega Street Dakwah berkata tujuan mereka mengikuti program itu adalah untuk menyampaikan dakwah sebagaimana ia dilakukan Rasulullah SAW dan ingin mendapatkan pengalaman supaya dapat menyampaikan mesej Islam kepada keluarga bukan Muslim.
Sukarelawan yang juga Pengasas Rayhanah Group, Dilla Manshor berkata jika sebelum ini beliau berusaha menyampaikan dakwah menerusi perniagaan seperti berniaga makanan sunnah, tetapi kali ini beliau ke lapangan untuk mengajak masyarakat mengenali Islam secara terus, pada masa sama merasai sendiri cabaran dilalui Nabi Muhammad SAW ketika berdakwah apabila berdepan penolakan demi penolakan.
“Benda ini patut diketengahkan dan diberi kesedaran kepada ramai orang, dia sebenarnya bukan sahaja untuk dakwahkan orang untuk terus masuk Islam tapi mengenali susuk Muslim itu sendiri dengan cara yang lebih baik dan lebih harmoni.
“Suka saya tengok (program) hari ini sebab dia melibatkan pelajar-pelajar universiti supaya mereka tahu yang mereka belajar di universiti masing-masing itu bukan setakat teori tapi jom kita sama-sama ke lapangan dakwah yang sebenar praktis terus,” katanya.
Pelajar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Amelia Lin Ahmad Amir Lin, 19, berkata dia mengikuti program itu kerana ingin mendapatkan pengalaman berdakwah supaya dia boleh menyampaikan mesej Islam kepada ahli keluarganya yang belum Muslim.
“Ohhh mesti-mesti (program ini perlu diadakan lagi)…. Mengapa? Kan sunnah nabi yang kita kena berdakwah tapi ramai yang masih tak tahu, atau masih segan masih tak yakin untuk buat kerja dakwah ini jadi kalau ada effort yang tertumpu macam ini Insyaallah lebih ramai lagi dapat hidayah dan lebih ramai umat Islam akan tahu kepentingan dakwah,” katanya yang turut meluahkan rasa teruja kerana kali pertama berpeluang mengikuti program itu.
Rakan seuniversiti Amelia, Wan Noor Afifah Wan Muhammad Paisa, 22, menyifatkan program itu sebagai salah satu inisiatif yang efektif dan paling berkesan untuk masyarakat Muslim dan anak muda menyebarkan agama Islam.
Afifah yang sudah tiga kali menyertai program itu mengharapkan lebih ramai lagi anak muda berani untuk ke lapangan kerana menurutnya, adalah menjadi tanggungjawab seseorang Muslim menyampaikan dakwah walaupun satu ayat atau sehelai pamphlet.
Dia juga berharap program itu akan diteruskan supaya lebih ramai yang mengikutinya, sekali gus membuka banyak peluang untuk anak muda yang berminat berdakwah (mendapatkan pengalaman di lapangan).
“Dari segi pengalaman Alhamdulillah mengikuti Street Dakwah sebelum dekat Bukit Bintang juga saya berjaya untuk bagi al-Quran kepada non-Muslim yang memang sedang mencari Islam dan sebabkan itu ia menjadi salah satu motivasi juga untuk saya teruskan dalam aktiviti street dakwah ini sebab sebenarnya ramai lagi yang tak tahu tentang Islam dan itu adalah telah menjadi salah satu tanggungjawab utama sebagai seorang Islam untuk kita sebarkan lagi tentang al-Quran, Nabi dan Islam.
“… Kalau kita sedar dekat Malaysia pun banyak lagi non-Muslim atau bukan beragama Islam yang masih takut dekati Islam sebab (beranggapan) kita terlalu ekstrem dalam ajaran kita sedangkan Islam ini penuh dengan keharmonian, ketenangan dan keindahan so benda itulah salah faham yang sering saya dengar sebagai seorang pelajar,” kata Afifah.
Turut mempunyai pengalaman tiga kali ke program itu, pelajar dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Mohammat Rizal Ismail, 22, berkata tujuan beliau mengikuti program itu untuk menyebarkan dakwah itu sendiri sebagaimana dilakukan Rasulullah SAW dan masyarakat selepas Baginda.
“Pengalaman dan cabaran sepanjang saya terlibat dengan Mega Street Dakwah ini pertamanya memang susah untuk kita approach golongan orang Cina, terutamanya sebab mereka selalu kerap menolak bila kita bagi pamphlet dan sebagainya.
“Pengalaman kedua adalah saya pernah kena marah apabila saya edar pamphlet jadi itu kata satu benda yang mengejutkan saya jugalah sebab saya tak pernah kena marah,” kata Rizal.
Rakan seuniversiti Rizal, Muhammad Idham Daniel Johari, 22, berkata ini kali kedua dia mengikuti program berkenaan yang pada awalnya didorong rakan yang mengatakan program itu best.
“Saya rasa program ini patut diadakan lagi sebab benda ini sangat bermanfaat even tadi orang Muslim tadi pun dia tak tahu yang Jesus ini apa sebenarnya jadi semoga benda ini dapat menyebarkan dakwah kepada semua,” katanya.
Sebagai seorang pelajar, antara tanggapan salah yang beliau dengar berkenaan Islam adalah ada pihak tertentu mendakwa Islam sebagai rasis, namun Idham berkata, Islam tidak rasis sebaliknya Islam bersifat syumul (menyeluruh).— The Merdeka Times