Antarabangsa
“Setiap meter persegi Terusan Panama adalah milik Panama”, amaran tegas Mulino kepada Trump
- Setiap meter persegi Terusan Panama dan kawasan sekitarnya adalah milik Panama dan akan terus menjadi milik Panama.
- Demikian reaksi tegas Presiden Panama, Jose Raul Mulino, yang menyatakan bahawa kedaulatan negara itu terhadap Terusan Panama tidak boleh dipertikaikan, susulan ancaman Presiden Amerika Syarikat terpilih, Donald Trump, untuk mengambil semula kawalan ke atas laluan penting tersebut.
- Mulino turut mempertahankan kadar bayaran melintasi terusan itu, dengan menjelaskan ia ditetapkan melalui pendengaran awam yang mempertimbangkan kos operasi, persaingan antarabangsa, serta keperluan penyelenggaraan dan pemodenan terusan.
PANAMA CITY – Setiap meter persegi Terusan Panama dan kawasan sekitarnya adalah milik Panama dan akan terus menjadi milik Panama.
Demikian reaksi tegas Presiden Panama, Jose Raul Mulino, yang menyatakan bahawa kedaulatan negara itu terhadap Terusan Panama tidak boleh dipertikaikan, susulan ancaman Presiden Amerika Syarikat terpilih, Donald Trump, untuk mengambil semula kawalan ke atas laluan penting tersebut.
“Setiap meter persegi Terusan Panama dan kawasan sekitarnya adalah milik Panama dan akan terus menjadi milik Panama. Kedaulatan dan kemerdekaan negara kita tidak boleh dirunding,” kata Mulino dalam kenyataan yang disiarkan di platform X pada Ahad.
Mulino turut mempertahankan kadar bayaran melintasi terusan itu, dengan menjelaskan ia ditetapkan melalui pendengaran awam yang mempertimbangkan kos operasi, persaingan antarabangsa, serta keperluan penyelenggaraan dan pemodenan terusan.
Kenyataan ini menyusul selepas Trump mendakwa Panama mengenakan kadar bayaran yang melampau untuk laluan di Terusan Panama. Trump juga memberi amaran tentang kemungkinan pengaruh China terhadap laluan itu, sambil menegaskan bahawa beliau tidak akan membiarkan terusan tersebut jatuh ke ‘tangan yang salah’.
Presiden Panama menolak dakwaan Trump, dengan menyatakan bahawa terusan itu tidak dikuasai secara langsung atau tidak langsung oleh mana-mana kuasa besar, termasuk China, Kesatuan Eropah, atau Amerika Syarikat.
“Sebagai rakyat Panama, saya menolak sebarang kenyataan yang memesongkan realiti ini. Terusan ini akan kekal di tangan rakyat Panama sebagai warisan negara kita, menjamin lalu lintas kapal yang aman dan tanpa gangguan,” tegas Mulino.
Dalam nada yang lebih diplomatik, Mulino bagaimanapun menyatakan harapan untuk mengekalkan hubungan baik dan saling menghormati dengan kerajaan baharu Amerika Syarikat. Beliau turut menekankan kepentingan isu keselamatan, termasuk migrasi haram, pengedaran dadah, keganasan, dan jenayah terancang, dalam agenda dua hala.
“Kita perlu memberi perhatian serius terhadap ancaman ini yang menjejaskan kestabilan serantau,” tambahnya.
Terusan Panama, yang merupakan laluan penting untuk perdagangan global, kekal menjadi simbol kedaulatan negara Panama sejak pengambilalihan penuh dari Amerika Syarikat pada tahun 1999. – The Merdeka Times