Terkini
Satu daripada setiap 127 individu di dunia hidap autistik – Kajian
- Dianggarkan 61.8 juta orang pada 2021 adalah autistik, iaitu bersamaan satu daripada setiap 127 individu, demikian analisis global baharu.
- Kajian itu dijalankan sebagai sebahagian Kajian Global Burden of Diseases, Injuries, and Risk Factors (GBD) 2021 dan mengenal pasti gangguan spektrum autisme (ASD) sebagai salah satu daripada sepuluh punca utama beban kesihatan bukan fatal (tidak membawa maut) bagi kelompok muda di bawah umur 20 tahun.
- Penemuan itu diterbitkan dalam The Lancet Psychiatry, lapor Medical Xpress pada 19 Disember lalu.
- Dapatan utama menunjukkan perbezaan ketara iaitu prevalens (jumlah keseluruhan kes) global ASD adalah jauh lebih tinggi dalam kalangan lelaki dengan 1,065 kes bagi setiap 100,000 lelaki, hampir dua kali ganda berbanding prevalens global dalam kalangan wanita iaitu 508 kes bagi setiap 100,000 wanita.
Dianggarkan 61.8 juta orang pada 2021 adalah autistik, iaitu bersamaan satu daripada setiap 127 individu, demikian analisis global baharu.
Kajian itu dijalankan sebagai sebahagian Kajian Global Burden of Diseases, Injuries, and Risk Factors (GBD) 2021 dan mengenal pasti gangguan spektrum autisme (ASD) sebagai salah satu daripada sepuluh punca utama beban kesihatan bukan fatal (tidak membawa maut) bagi kelompok muda di bawah umur 20 tahun.
Penemuan itu diterbitkan dalam The Lancet Psychiatry, lapor Medical Xpress pada 19 Disember lalu.
Dapatan utama menunjukkan perbezaan ketara iaitu prevalens (jumlah keseluruhan kes) global ASD adalah jauh lebih tinggi dalam kalangan lelaki dengan 1,065 kes bagi setiap 100,000 lelaki, hampir dua kali ganda berbanding prevalens global dalam kalangan wanita iaitu 508 kes bagi setiap 100,000 wanita.
Kawasan seperti Asia Pasifik Berpendapatan Tinggi, termasuk Jepun mencatatkan prevalens tertinggi secara global iaitu 1,560 bagi setiap 100,000 orang, manakala Amerika Latin Tropika dan Bangladesh dilaporkan mencatatkan kadar terendah.
Walaupun terdapat perbezaan dari segi jantina dan kawasan, individu autistik wujud di seluruh dunia dalam semua peringkat umur, dengan jumlah tahun hidup yang “hilang” (disability-adjusted life-years (DALYs)) meningkat kerana pertambahan populasi.
Penemuan itu juga menekankan keperluan mendesak untuk pengesanan awal dan sokongan berterusan bagi individu autistik serta penjaga mereka di seluruh dunia.
Menangani beban kesihatan global ASD memerlukan keutamaan sumber untuk program pengesanan awal, termasuk alat diagnostik yang lebih baik, terutamanya untuk orang dewasa dan mereka di negara berpendapatan rendah dan sederhana yang menghadapi kekurangan akses kepada rawatan, sokongan penjaga dan perkhidmatan yang disesuaikan dengan keperluan individu autistik sepanjang hayat mereka.
Peningkatan liputan data geografi dan intervensi khusus untuk komorbiditi (keadaan seseorang mempunyai masalah kesihatan) dan risiko kematian, seperti bunuh diri adalah langkah penting dalam usaha ini.
Penemuan itu menyediakan asas penting untuk membentuk dasar dan amalan yang dapat meningkatkan kualiti hidup berjuta-juta individu autistik di seluruh dunia. — The Merdeka Times