Terkini
Jangan anggap Malaysia “Little China” – Tun M
- Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tiada larangan untuk masyarakat berketurunan Cina di negara ini menyambut hari kebesaran kaum itu, tetapi apabila ia melibatkan keraian di peringkat nasional untuk negara China, maka ia tidak perlu diadakan di Malaysia.
- Ia susulan laporan media mengenai pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah acara sambutan Tahun Baru Cina negara China yang pertama kali dianjurkan di luar Negara Tembok Besar itu.
- “Malangnya kita dapati bahawa ada pihak-pihak di negara China yang menganggap Malaysia ini sebagai “Little China”, jadi nak dirayakan raya Cina pun nak dibuat di “Little China”, ini tak kenalah,” kata Dr Mahathir menerusi klip video dimuat naik Rafizah Cian Lin di Facebook pada Rabu.
KUALA LUMPUR — Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tiada larangan untuk masyarakat berketurunan Cina di negara ini menyambut hari kebesaran kaum itu, tetapi apabila ia melibatkan keraian di peringkat nasional untuk negara China, maka ia tidak perlu diadakan di Malaysia.
Ia susulan laporan media mengenai pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah acara sambutan Tahun Baru Cina negara China yang pertama kali dianjurkan di luar Negara Tembok Besar itu.
“Malangnya kita dapati bahawa ada pihak-pihak di negara China yang menganggap Malaysia ini sebagai “Little China”, jadi nak dirayakan raya Cina pun nak dibuat di “Little China”, ini tak kenalah.
“Kita nak raya (sambut) raya Cina bagi orang Malaysia di China boleh (bagi orang Cina di Malaysia boleh) dan kalau mereka nak jemput pelawat daripada negara asing pun boleh, itu tak ada tegahan.
“Tetapi janganlah buat national celebration hari raya Cina di Malaysia… kononnya pasal Malaysia ini adalah “Little China”,” kata Dr Mahathir menerusi klip video dimuat naik Rafizah Cian Lin di Facebook di sini pada Rabu.
Dalam klip video berdurasi satu minit 42 saat itu, Rafizah dilihat meminta pandangan Dr Mahathir berhubung mengapa China memilih Malaysia sebagai tuan rumah pertama untuk sambutan Tahun Baharu Cina di luar negara tahun depan dan kesannya kepada negara.
Ini susulan China dilaporkan buat pertama kali akan menganjurkan sambutan Tahun Baru Cina di luar negara itu dan memilih Malaysia sebagai tuan rumah.
Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing, perkara itu dimaklumkan dalam pertemuan dengan Menteri Kebudayaan dan Pelancongan China, Sun Yeli ketika penganjuran China International Travel Mart di Shanghai.
Difahamkan, Rafizah adalah seorang guru bahasa Mandarin yang sering berkongsikan reaksi netizen daripada akhbar berbahasa Cina antara lain membabitkan isu pendidikan Cina, Sekolah Jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan bahasa kebangsaan. — The Merdeka Times