Terkini
(VIDEO) Jalur Gemilang terbalik: Hannah terima permohonan maaf, Fahmi sifatkan kecuaian kritikal
KUALA LUMPUR — Isu pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia yang memakai jersi memaparkan bendera “Jalur Gemilang” terbalik ketika beraksi di Jelajah Dunia Akhir BWF 2024 baru-baru ini mendapat perhatian dua Menteri Kerajaan Madani.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyifatkan permohonan maaf pihak penaja Zii Jia, Victor berhubung isu Jalur Gemilang terbalik pada jersi pemain itu sudah memadai dan enggan memanjangkan isu berkenaan.
Hannah berkeyakinan Zii Jia tidak berniat untuk menghina negara, namun menggesa pengurus dan atlet lain agar mengambil serius isu itu bagi mengelakkan kesilapan sama berulang di masa hadapan.
“Buat masa sekarang, isu Zii Jia seperti yang saya katakan permohonan maaf telah dikeluarkan oleh Victor. Saya belum semak (jika Zii Jia dan pasukannya telah mengeluarkan permohonan maaf) sejak kejadian itu dan bagi saya, buat masa ini ia telah memadai.
“Majlis Sukan Negara (MSN) telah ditugaskan untuk menyiasat perkara ini dan menyediakan draf untuk saya lihat dan kami akan maklumkan (mengenai garis panduan bagi memastikan isu seumpama itu tidak berulang),” kata Hannah dipetik BERNAMA selepas Sidang Media Dana Sukan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) 2025 di Putrajaya hari ini.
@themerdekatimes Media sebelum ini melaporkan, Zii Jia dalam perlawanan menentang pemain Taiwan, Chou Tien Chen dapat dilihat dengan jelas di kaca televisyen Jalur Gemilang yang ditampal dalam keadaan terbalik di bahagian kiri baju Zii Jia. Susulan insiden itu, penaja jersi pemain berkenaan, Victor Malaysia mengeluarkan permohonan maaf dan akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi memastikan kesilapan itu tidak berulang. #JalurGemilang #Sukan #themerdekatimes #leeziijia #hannahyeoh #fahmifadzil
♬ original sound – The Merdeka Times (TMT) – The Merdeka Times (TMT)
Ketika ditanya mengenai pandangan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang menyifatkan kesilapan itu sebagai kecuaian kritikal, Hannah berkata ia bergantung kepada kementerian lain jika berpendapat tindakan perlu diambil.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Madani pada Sabtu lalu dilaporkan berkata meskipun permohonan maaf telah dikemukakan pihak Zii Jia, namun kesilapan itu disifatkan sebagai kecuaian kritikal.
“Saya ambil maklum dipihak Lee Zii Jia telah ada permohonan maaf. Bagi saya, itu kesilapan yang agak ketara kerana baju itu dipakai oleh pemain yang cukup dikenali dan mewakili serta membawa nama Malaysia.
“Jadi, saya anggap itu satu kecuaian yang agak kritikal. Tetapi, kita ambil maklum sekiranya ada siasatan, maka kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat,” katanya dipetik media tempatan.
Media sebelum ini melaporkan, Zii Jia dalam perlawanan menentang pemain Taiwan, Chou Tien Chen dapat dilihat dengan jelas di kaca televisyen Jalur Gemilang yang ditampal di bahagian kiri baju Zii Jia ditampal dalam keadaan terbalik.
Susulan insiden itu, penaja jersi pemain berkenaan, Victor Malaysia mengeluarkan permohonan maaf dan akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi memastikan kesilapan itu tidak berulang.– The Merdeka Times