Politik
Batu Puteh: Isu pengkhianatan negara tidak timbul – Muhyiddin
- Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata adalah tidak wajar juga seorang bekas Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) dihadapkan ke muka pengadilan semata-mata atas keputusan kerajaan yang disahkan oleh Kabinet semasa pentadbirannya dahulu.
- “Merujuk kenyataan bersama dikeluarkan YB Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu dan YB Loke Siew Fook mengenai keputusan Jemaah Menteri Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tentang isu Pulau Batu Puteh pada 23 Mei 2018, saya ingin menegaskan bahawa keputusan dibuat Jemaah Menteri mengenainya adalah tertakluk kepada prinsip tanggungjawab kolektif (collective responsibility) Jemaah Menteri.
- “Apabila Jemaah Menteri telah membuat keputusan mengenainya, adalah menjadi tanggungjawab setiap anggota Jemaah Menteri untuk menerima keputusan tersebut secara kolektif.
- “Tidak timbul soal Perdana Menteri mesti mengambil tanggungjawab secara peribadi atas keputusan dibuat kabinet. Ia adalah tanggungjawab bersama,” kata Muhyiddin menerusi hantaran di Facebook di sini pada Khamis.
KUALA LUMPUR — Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa isu pengkhianatan terhadap negara tidak timbul dalam kes Pulau Batu Puteh.
Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU berkata adalah tidak wajar juga seorang bekas Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) dihadapkan ke muka pengadilan semata-mata atas keputusan kerajaan yang disahkan Kabinet semasa pentadbirannya dahulu.
Beliau berkata sekiranya perkara itu berlaku, ia adalah duluan yang buruk untuk negara.
“Merujuk kenyataan bersama dikeluarkan YB Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu dan YB Loke Siew Fook mengenai keputusan Jemaah Menteri Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tentang isu Pulau Batu Puteh pada 23 Mei 2018, saya ingin menegaskan bahawa keputusan dibuat Jemaah Menteri mengenainya adalah tertakluk kepada prinsip tanggungjawab kolektif (collective responsibility) Jemaah Menteri.
“Walaupun perkara tersebut dibawa oleh mantan Perdana Menteri Ke-7, YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam agenda hal-hal lain, ia tidak menghalang mana-mana anggota Jemaah Menteri untuk memberikan pandangan.
“Apabila Jemaah Menteri telah membuat keputusan mengenainya, adalah menjadi tanggungjawab setiap anggota Jemaah Menteri untuk menerima keputusan tersebut secara kolektif.
“Tidak timbul soal Perdana Menteri mesti mengambil tanggungjawab secara peribadi atas keputusan dibuat kabinet. Ia adalah tanggungjawab bersama,” kata Muhyiddin menerusi hantaran di Facebook di sini pada Khamis.
Tiga anggota Kabinet semalam dalam kenyataan bersama menyatakan keputusan untuk tidak meneruskan usaha semakan dan tafsiran yang diputuskan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dibuat sendiri oleh Dr Mahathir Mohamad sebelum mesyuarat Kabinet yang pertama diadakan pada 2018.
Wan Azizah, Mohamad Sabu dan Anthony Loke berkata keputusan itu dibuat Dr Mahathir sendiri pada 21 Mei 2018 secara bertulis kepada Peguam Cara Negara, tanpa merujuk kepada Jemaah Menteri, dan dimaklumkan kepada Singapura pada pagi 23 Mei 2018.
Ketiga-tiga mereka juga berpandangan sebagai negarawan, Dr Mahathir sepatutnya mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas keputusan ini dan bukannya memilih meletakkan di bahu mereka yang tidak terlibat.
Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dalam laporan diedarkan kepada Ahli Parlimen pada 5 Dis lalu dilaporkan, mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap Dr Mahathir. — The Merdeka Times