Connect with us

Antarabangsa

Tiada lagi pemimpin Hamas di Doha

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Dari kiri pemimpin kanan Hamas, Khalil al-Hayya & Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed al-Ansari
  • Pemimpin kanan Hamas di luar Gaza dan tokoh penting lain dalam pasukan perundingannya tidak lagi berada di Doha, menurut kerajaan Qatar dan seorang pegawai kanan Palestin.
  • Jurucakap Kementerian Luar Qatar dilaporkan berkata pejabat Hamas tidak lagi mempunyai fungsi kerana Qatar telah menggantung usahanya selaku pengantara dalam perjanjian gencatan senjata Gaza, namun menegaskan pejabat kumpulan penentangan Palestin itu tidak ditutup secara kekal.
  • “Keputusan untuk menutup pejabat secara kekal adalah keputusan yang anda akan dengar daripada kami secara langsung dan tidak sepatutnya menjadi sebahagian daripada spekulasi media,” kata Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed al-Ansari pada Selasa dipetik BBC.
  • Sementara itu, pegawai Palestin dilaporkan berkata perunding Hamas menyesuaikan kehadiran mereka di rantau itu dan merahsiakan lokasi mereka untuk mengelakkan rasa malu bagi negara tuan rumah.
  • Awal bulan ini, Qatar mengumumkan ia menghentikan usahanya untuk menjadi perantara gencatan senjata Gaza dan berkata mereka hanya akan menyambung semula “apabila pihak-pihak menunjukkan kesediaan dan kesungguhan untuk menamatkan perang kejam itu”. 

Pemimpin kanan Hamas di luar Gaza dan tokoh penting lain dalam pasukan perundingannya tidak lagi berada di Doha, menurut kerajaan Qatar dan seorang pegawai kanan Palestin.

Jurucakap Kementerian Luar Qatar dipetik BBC sebagai berkata pejabat Hamas tidak lagi mempunyai fungsi kerana Qatar telah menggantung usahanya selaku pengantara dalam perjanjian gencatan senjata Gaza, namun menegaskan pejabat kumpulan penentangan Palestin itu tidak ditutup secara kekal.

Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed al-Ansari pada Selasa mengesahkan pada taklimat media bahawa “pemimpin Hamas yang berada dalam pasukan rundingan kini tidak berada di Doha”.

“Seperti yang anda tahu, mereka bergerak di antara ibu kota yang berbeza. Saya tidak mahu menjelaskan secara terperinci apa maksudnya.

“Tetapi apa yang saya boleh beritahu anda dengan jelas ialah pejabat Hamas di Doha diwujudkan demi proses rundingan. Jelas sekali, apabila tiada proses pengantaraan, pejabat itu sendiri tidak mempunyai sebarang fungsi,” katanya dipetik BBC.

Beliau turut menegaskan “keputusan untuk menutup pejabat secara kekal adalah keputusan yang anda akan dengar daripada kami secara langsung dan tidak sepatutnya menjadi sebahagian daripada spekulasi media”.

Sementara itu, pegawai Palestin dilaporkan berkata perunding Hamas menyesuaikan kehadiran mereka di rantau itu dan merahsiakan lokasi mereka untuk mengelakkan rasa malu bagi negara tuan rumah.

Mereka bagaimanapun berkata pemimpin kanan Hamas, Khalil al-Hayya mungkin berada di Turkiye kerana dia telah pergi ke sana beberapa kali sejak dua bulan lalu.

Pegawai itu juga menafikan laporan bahawa Qatar telah secara rasmi meminta Hamas keluar.

Negara Teluk itu bagaimanapun dilihat berhati-hati untuk mengelak sebarang ketegangan antara pentadbiran semasa Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan pentadbiran Presiden AS yang dipilih, Donald Trump, kata mereka.

Awal bulan ini, Qatar mengumumkan ia telah menghentikan usahanya untuk menjadi perantara gencatan senjata Gaza dan berkata mereka hanya akan menyambung semula “apabila pihak-pihak menunjukkan kesediaan dan kesungguhan untuk menamatkan perang kejam itu”. 

Qatar juga menafikan laporan bahawa pemimpin Hamas telah diminta keluar dari negara Teluk itu.

Hamas dalam kenyataan Telegram pada Isnin berkata, sumber dalam kumpulan itu telah “menafikan apa yang diedarkan beberapa media Israel mengenai kepimpinan Hamas meninggalkan Qatar ke Turkiye”. – The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *