Connect with us

Terkini

JAKIM laksana solat jenazah ghaib buat Ismail Haniyeh malam ini

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada malam ini akan melaksanakan solat jenazah ghaib buat pemimpin tertinggi kumpulan pejuang Palestin, Ismail Haniyeh yang didakwa dibunuh rejim Israel di Tehran pada Selasa.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Ketua Biro Politik Hamas, Almarhum Ismail Haniyeh.
  • Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata solat jenazah ghaib itu akan dilaksanakan selepas solat Maghrib di tiga masjid utama JAKIM iaitu Masjid Negara Kuala Lumpur, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya.
  • Orang ramai juga dijemput hadir menunaikan solat jenazah ghaib tersebut sebagai tanda solidariti Muslim di Malaysia terhadap perjuangan umat Islam Palestin dalam menentang kezaliman rejim zionis Israel.
  • “Semoga roh Almarhum dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para syuhada dan golongan yang beriman dan beramal soleh,” kata Hakimah menerusi kenyataan media di sini hari ini.
  • Semalam, seluruh masyarakat dunia, terutama Muslim dan rakyat Palestin, dikejutkan dengan kematian Haniyeh yang juga Ketua Biro Politik Hamas dilaporkan syahid dibunuh di Tehran ketika menghadiri upacara pelantikan presiden baharu Iran.

KUALA LUMPUR — Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada malam ini akan melaksanakan solat jenazah ghaib buat pemimpin tertinggi kumpulan pejuang Palestin, Ismail Haniyeh yang didakwa dibunuh rejim Israel di Tehran pada Selasa.

Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata solat jenazah ghaib itu akan dilaksanakan selepas solat Maghrib di tiga masjid utama JAKIM iaitu Masjid Negara Kuala Lumpur, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya.

Beliau juga menjemput orang ramai hadir beramai-ramai bagi menunaikan solat jenazah ghaib tersebut sebagai tanda solidariti Muslim di Malaysia terhadap perjuangan umat Islam Palestin dalam menentang kezaliman rejim zionis Israel.

“JAKIM amat berdukacita dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Almarhum Ismail Haniyeh yang telah kembali ke rahmatullah pada 31 Julai 2024.

“Almarhum adalah seorang tokoh yang disegani dan teguh dalam perjuangan membela nasib umat Islam di Palestin. 

“Semoga roh Almarhum dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para syuhada dan golongan yang beriman dan beramal soleh,” katanya menerusi kenyataan media di sini hari ini.

Semalam, seluruh masyarakat dunia, terutama Muslim dan rakyat Palestin, dikejutkan dengan kematian Haniyeh yang juga Ketua Biro Politik Hamas dilaporkan syahid dibunuh di Tehran ketika menghadiri upacara pelantikan presiden baharu Iran.

The New York Times memetik kenyataan Pengawal Revolusi Iran mengatakan Haniyeh dan seorang pengawal keselamatannya disasarkan di tempat kediaman mereka. 

Al Jazeera melaporkan Haniyeh terbunuh akibat bedilan peluru berpandu udara menyasarkan kediamannya di Iran.

Israel masih berdiam diri berkenaan kematian Haniyeh dengan media di sana melaporkan pejabat Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu mengarahkan menteri kabinet untuk tidak mengulas. 

Rejim zionis Israel melancarkan perang di Gaza dengan janji untuk menghapuskan Hamas dan pemimpinnya selepas insiden serangan balas rentas sempadan Hamas pada 7 Oktober tahun lalu.

Sementara itu, Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei dilaporkan berikrar memberi ‘hukuman keras’ terhadap rejim zionis Israel selepas pembunuhan Haniyeh. 

Menyifatkan Haniyeh sebagai pemimpin mujahidin Palestin yang berani, Ali berkata tindakan penjenayah rejim zionis yang membunuh tetamu kesayangan mereka di rumah mereka sendiri membawa kedukaan, namun ia juga menyediakan asas untuk hukuman keras terhadap rejim itu. — The Merdeka Times

Author