Terkini
Kanak-kanak terjebak jenayah seks akibat masalah mental
Masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak dilihat semakin membimbangkan selepas banyak kes jenayah seks membabitkan kanak-kanak bawah umur direkodkan kebelakangan ini.

- Masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak dilihat semakin membimbangkan selepas banyak kes jenayah seks membabitkan kanak-kanak bawah umur direkodkan kebelakangan ini.
- Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata perkembangan itu jelas menimbulkan kebimbangan banyak pihak, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).
- “Terbaharu, satu kes yang merunsingkan kita adalah kes jenayah seks membabitkan kanak-kanak usia seawal lima tahun. Dia bukan didera, bukan dipaksa untuk melakukannya. Ini bukan sakit fizikal, tetapi (sakit) mental.
- “Saya lihat hari ini masalah kesihatan mental kanak-kanak harus dilihat dan dikaji secara bersama oleh masyarakat, ini kerana kita tiada ‘outlet’ (tempat khas) untuk rawat, pulihkan mereka,” katanya dipetik Berita Harian pada Program Lawatan Hospital Sempena Peringatan Hari Polis ke-217 di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-kanak (HPKK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini.
KUALA LUMPUR — Masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak dilihat semakin membimbangkan selepas banyak kes jenayah seks membabitkan kanak-kanak bawah umur direkodkan kebelakangan ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata perkembangan itu jelas menimbulkan kebimbangan banyak pihak, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Terbaharu, satu kes yang merunsingkan kita adalah kes jenayah seks membabitkan kanak-kanak usia seawal lima tahun. Dia bukan didera, bukan dipaksa untuk melakukannya. Ini bukan sakit fizikal, tetapi (sakit) mental.
“Saya lihat hari ini masalah kesihatan mental kanak-kanak harus dilihat dan dikaji secara bersama oleh masyarakat, ini kerana kita tiada ‘outlet’ (tempat khas) untuk rawat, pulihkan mereka,” katanya dipetik Berita Harian pada Program Lawatan Hospital Sempena Peringatan Hari Polis ke-217 di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-kanak (HPKK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini.
Mohd Shuhaily berkata kanak-kanak bermasalah sebegitu akan terus membesar dan berada dalam masyarakat dan ini dikhuatiri akan menimbulkan masalah lebih serius, sekiranya tidak ditangani awal.
“Namun ‘corrective measures’ (langkah pemulihan) pada masa ini amat kurang.
“Sebagai contoh, kes seksual rambang oleh seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun baru-baru kerana ingin membayar hutang, kami ingat itu kes yang paling muda, tetapi baru-baru ini ada kes membabitkan kanak-kanak berusia lima tahun.
“Disebabkan inilah kita (PDRM) memerlukan kepakaran dalam konteks kesihatan mental dalam membantu kepincangan yang berlaku dalam masyarakat. Ini kerana generasi muda adalah masa depan kita,” katanya.
Beliau berkata punca jenayah seks membabitkan kanak-kanak itu adalah kerana akses kepada bahan pornografi yang terlalu mudah secara dalam talian berbanding dahulu.
“Akses kepada bahan sedemikian semakin terbuka (tanpa sekatan), justeru perlu ada satu perbincangan yang lebih menyeluruh dan perkara ini kita telah bangkitkan ke peringkat kementerian berkaitan.
“Kita rasa perkara ini mungkin perlu dilihat lebih mendalam dalam konteks penggubalan undang-undang jenayah siber itu sendiri,” katanya. — The Merdeka Times
