Terkini
3,451 individu terima ubat PrEP, Jangkitan sifilis menurun – Dr Dzulkefly
Seramai 3,451 individu menerima Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) sejak projek perintis berkenaan ubat itu dimulakan pada Januari 2023 sehingga 11 Januari lalu.

- Seramai 3,451 individu menerima Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) sejak projek perintis berkenaan ubat itu dimulakan pada Januari 2023 sehingga 11 Januari lalu.
- Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata PrEP adalah pencegahan HIV yang berkesan dan terbukti saintifik dapat mencegah penularan penyakit itu secara seksual sebanyak 99 peratus.
- “Analisis awal penggunaan PrEP mendapati terdapat penurunan jangkitan penyakit sifilis iaitu daripada 11 kepada kepada 6.5 peratus selepas enam bulan dan 1.3 peratus selepas 12 bulan.
- “Program itu sudah diperluaskan daripada 18 kepada 21 klinik dan seterusnya akan diperluaskan kepada 10 klinik kesihatan pada tahun ini,” katanya dipetik Berita Harian ketika menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) di Dewan Rakyat hari ini.
- Pada Disember 2022, Kementerian Kesihatan dilaporkan akan melakukan projek rintis berkenaan penggunaan ubat PrEP di beberapa hospital bagi menilai keberkesanan dan keselamatannya dalam mengurangkan risiko penularan jangkitan HIV.
- Pemberian ubat PrEP kepada golongan berisiko dijangkiti HIV, termasuk komuniti LGBT, bagaimanapun menimbulkan perdebatan di antara pengamal perubatan, terutama doktor Muslim.
KUALA LUMPUR — Seramai 3,451 individu menerima Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) sejak projek perintis berkenaan ubat itu dimulakan pada Januari 2023 sehingga 11 Januari lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata PrEP adalah pencegahan HIV yang berkesan dan terbukti saintifik dapat mencegah penularan penyakit itu secara seksual sebanyak 99 peratus.
Dr Dzulkefly berkata projek perintis PrEP itu dilaksanakan di 18 klinik kesihatan dan diperluaskan kepada tiga klinik lain pada pertengahan tahun sama.
“Analisis awal penggunaan PrEP mendapati terdapat penurunan jangkitan penyakit sifilis iaitu daripada 11 kepada kepada 6.5 peratus selepas enam bulan dan 1.3 peratus selepas 12 bulan.
“Program itu sudah diperluaskan daripada 18 kepada 21 klinik dan seterusnya akan diperluaskan kepada 10 klinik kesihatan pada tahun ini,” katanya dipetik Berita Harian ketika menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) di Dewan Rakyat hari ini.
Dr Dzulkefly berkata Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa mengambil langkah proaktif berhubung pandangan pihak berkuasa agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Fatwa dalam program itu.
Katanya, setakat ini Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis yang bersidang pada Julai lalu berpendapat mudarat penularan HIV yang boleh berjangkit secara meluas adalah lebih besar berbanding mudarat penyalahgunaan PrEP untuk yang didakwa menggalakkan perbuatan seks songsang.
“Atas dasar itu, menjadi harus bagi pihak kerajaan atau pengamal perubatan memberikan PrEP untuk pencegahan penularan HIV.
“Jelasnya kita tidak sama sekali merestui amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) atau amalan songsang, namun dari segi menjaga nyawa, itu adalah satu keperluan dan mengambil pendekatan ini bagi mengelakkan lebih mudarat,” katanya.
Pada Disember 2022, Kementerian Kesihatan dilaporkan akan melakukan projek rintis berkenaan penggunaan ubat PrEP di beberapa hospital bagi menilai keberkesanan dan keselamatannya dalam mengurangkan risiko penularan jangkitan HIV.
Pemberian ubat PrEP kepada golongan berisiko dijangkiti HIV, termasuk komuniti LGBT, bagaimanapun menimbulkan perdebatan di antara pengamal perubatan, terutama doktor Muslim. — The Merdeka Times
