Connect with us

Terkini

Tentera Israel serbu hospital Al-Shifa 

Tentera Israel berkata ia sedang menjalankan operasi terhadap Hamas di hospital Al Shifa di Semenanjung Gaza hari ini dan menggesa anggota kumpulan pejuang di hospital itu menyerah diri.

Wartawan TMT

Published

on

Tentera Israel serbu hospital Al-Shifa 
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Tentera Israel berkata ia sedang jalankan operasi terhadap Hamas di hospital Al Shifa di Semenanjung Gaza hari ini dan menggesa anggota kumpulan pejuang di hospital itu serah diri.
  • Kurang sejam sebelum itu, jurucakap kementerian kesihatan Gaza berkata Israel beritahu pegawai di kawasan itu ia akan serbu kompleks hospital Shifa “dalam beberapa minit akan datang.”
  • Dalam satu kenyataan, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berkata: “Berdasarkan maklumat risikan dan keperluan operasi, pasukan IDF sedang menjalankan operasi yang tepat dan disasarkan terhadap Hamas di kawasan tertentu di Hospital Shifa.”
  • Israel sebelum ini menuduh Hamas mempunyai pusat kawalan di bawah hospital Al Shifa, yang terbesar di Gaza, dan menggunakan hospital serta terowong di bawahnya untuk menyembunyikan operasi ketenteraan dan menahan tebusan bagaimanapun Hamas menafikan.

GAZA: Tentera Israel berkata ia sedang menjalankan operasi terhadap Hamas di hospital Al Shifa di Semenanjung Gaza hari ini dan menggesa anggota kumpulan pejuang di hospital itu menyerah diri.

Kurang sejam sebelum itu, jurucakap kementerian kesihatan Gaza berkata Israel memberitahu pegawai di kawasan itu bahawa ia akan menyerbu kompleks hospital Shifa “dalam beberapa minit akan datang.”

Dalam satu kenyataan, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berkata: “Berdasarkan maklumat risikan dan keperluan operasi, pasukan IDF sedang menjalankan operasi yang tepat dan disasarkan terhadap Hamas di kawasan tertentu di Hospital Shifa.”

Tentera berkata: “Pasukan IDF termasuk pasukan perubatan dan penutur bahasa Arab, yang telah menjalani latihan khusus untuk mempersiapkan diri menghadapi persekitaran yang kompleks dan sensitif ini, dengan tujuan supaya tiada bahaya yang ditimbulkan kepada orang awam.”

Sebelum ini Israel menuduh Hamas mempunyai pusat kawalan di bawah hospital Al Shifa, yang terbesar di Gaza, dan menggunakan hospital serta terowong di bawahnya untuk menyembunyikan operasi ketenteraan dan menahan tebusan. Hamas menafikannya.

Selasa lalu Amerika Syarikat (AS) berkata perisikannya sendiri menyokong kesimpulan berkenaan.

Lima minggu selepas Israel berikrar untuk memusnahkan Hamas sebagai tindakan balas terhadap serangan rentas sempadan, nasib Al Shifa telah menjadi tumpuan penggera antarabangsa kerana keadaan semakin teruk di kemudahan itu.

Kakitangan perubatan berkata hospital itu hampir tidak berfungsi kerana serangan Israel dan kekurangan bahan api untuk penjana kuasa.

Tentera Israel melancarkan pertempuran jalanan yang sengit terhadap pejuang Hamas sejak 10 hari lalu sebelum mara ke pusat Gaza City dan sekitar Al Shifa. 

Menurut Hamas 650 pesakit dan 5,000 hingga 7,000 orang awam lain terperangkap di dalam kawasan hospital Al Shifa, di bawah tembakan berterusan daripada penembak tepat dan dron Israel.

Di tengah kekurangan bahan api, air dan bekalan, 40 pesakit meninggal dunia dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Tiga puluh enam bayi ditinggalkan dari wad neo-natal selepas tiga daripada mereka meninggal dunia.

Rakyat Palestin yang terperangkap di hospital menggali kubur besar-besaran semalam untuk mengebumikan pesakit yang meninggal dunia dan tiada rancangan untuk memindahkan bayi walaupun Israel mengumumkan tawaran menghantar inkubator mudah alih, kata jurucakap kementerian kesihatan Gaza, Ashraf Al-Qidra.

Qidra berkata terdapat kira-kira 100 mayat reput di dalam dan tiada cara untuk mengeluarkannya.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres sangat terganggu dengan “kehilangan nyawa dramatik” di hospital, kata jurucakapnya.

“Atas nama kemanusiaan, setiausaha agung menyeru gencatan senjata kemanusiaan segera,” kata jurucakap itu kepada pemberita.

Pegawai perubatan di Gaza yang dikendalikan Hamas berkata lebih 11,000 orang disahkan maut akibat serangan Israel, kira-kira 40 peratus daripadanya kanak-kanak, dan ramai lagi yang terperangkap di bawah runtuhan.

Kira-kira dua pertiga daripada 2.3 juta penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal, tidak dapat melarikan diri dari wilayah yang mana makanan, bahan api, air tawar dan bekalan perubatan kehabisan. – REUTERS

Sumber: Berita Harian

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *





Kolumnis

Berhikmahkah baca ayat al-Quran di hadapan tempat ibadat agama lain?

Beberapa hari lepas tular satu video menunjukkan seorang pelancong asing yang juga pempengaruh membaca petikan ayat al-Quran di sebuah kuil Hindu. 

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Tangkap layar video yang tular menunjukkan seorang pelancong asing yang juga pempengaruh membaca petikan ayat al-Quran di sebuah kuil Hindu. 

Beberapa hari lepas tular satu video menunjukkan seorang pelancong asing yang juga pempengaruh membaca petikan ayat al-Quran di sebuah kuil Hindu. 

Dalam video berkenaan, lelaki itu membaca ayat khusus yang berkaitan teguran Nabi Ibrahim kepada kaumnya yang menyembah berhala dalam Surah al-Anbiyaa’ 21:66-67

Nabi Ibrahim AS berkata: ‘Jika demikian, patutkah kamu menyembah yang lain dari Allah sesuatu yang tidak dapat mendatangkan faedah sedikitpun kepada kamu, dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepada kamu? Jijik perasaanku terhadap kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah! Maka mengapa kamu tidak mahu menggunakan akal fikiran kamu?’” 

Tidak dinafikan apa yang dimaksudkan ayat ini adalah benar dan merupakan fakta dalam ajaran Islam. 

Malah, tiada masalah sekalipun jikalau seseorang Muslim ingin membaca al-Qur’an kerana sememangnya ia perkara yang digalakkan dan diimani setiap Muslim.  

Penulis percaya barangkali niat pempengaruh itu adalah untuk menyampaikan mesej Tawhid dengan membaca petikan ayat al-Qur’an yang khusus menceritakan tentang sindiran Nabi Ibrahim AS kepada pengamal berhala. 

Meskipun niat tersebut mungkin baik, tindakan membaca al-Qur’an di rumah ibadat agama lain adalah tidak sesuai apatah lagi di hadapan patung berhala yang dianggap Tuhan oleh penganut agama terbabit. 

Lebih-lebih lagi, jika tindakan ini bertujuan untuk, konten dan meraih views di media sosial, ia menambahkan lagi ketidak sensitiviti terhadap keagamaan. Tanpa mengetahui realiti setempat, jelas ini bukan dakwah, ini adalah tindakan provokasi yang tidak sepatutnya berlaku.  

Berdakwah biarlah berhikmah 

Setiap daripada kita pasti memiliki pendekatan berdakwah yang pelbagai dalam usaha menarik golongan yang diseru kepada Islam.  

Namun, setiap pendekatan itu juga perlu digariskan mengikut saranan Allah yang menyuruh umat Islam supaya berdakwah secara berhikmah atau bijaksana. 

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik.” (Surah an-Nahl 16:125).

Hikmah dalam konteks ayat ini adalah meletakkan setiap sesuatu pada tempatnya dengan panduan akal. 

Sebagaimana  yang dinyatakan Ibnu Hajar dalam Fathul Bari (7/205), “Makna yang paling benar dari Al-Hikmah adalah bahwa Al-Hikmah adalah menempatkan sesuatu pada tempatnya.” 

Sa’id Hawwa pula mengatakan, al-hikmah itu ialah maqalah (pendapat atau perkataan) yang sahih dan jitu, iaitu dalil yang menerangkan kebenaran yang menghilangkan syubhat (kesamaran), atau khitab (ucapan, perkataan atau perbicaraan) yang munasabah kepada setiap golongan manusia berdasarkan kedudukan mereka.

Sebagai contoh, sesuaikah sekiranya kita berdakwah kepada orang bukan Muslim yang asing dan baru pertama kali berjumpa dengan membaca petikan ayat al-Qur’an seperti: 

“Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu.” (Surah An-Nisa’ 4:56)  

Sememangnya petikan ayat al-Qur’an ini adalah dalil yang sahih. Namun mari kita fikirkan secara logik, adakah bukan Muslim terbabit akan semakin mendekati Islam atau sebaliknya, menjauhi Islam? 

Dan bolehkah pendekatan dakwah sebegini kita katakan sebagai dakwah secara bijaksana yang meletakkannya di tempat yang sepatutnya? 

Sedangkan, kita perlu menggunakan pendekatan yang bersesuaian dengan audiens mengikut konteks sosial dan realiti setempat. Bukan main terjah berdakwah tanpa mengambil tahu latar belakang kepercayaan setempat. 

Dalam usaha berdakwah, amat penting untuk kita sentiasa mempertimbangkan sensitiviti agama lain dan menunjukkan penghormatan kepada kepercayaan mereka. 

“Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas Dengan ketiadaan pengetahuan.” (Surah Al-An’am 6:108) 

Tetapi, apakah menunjukkan penghormatan kepada kepercayaan mereka bermaksud Muslim menerima kepercayaan mereka? Sudah tentu tidak. Sebabnya jelas, akidah yang berbeza dan prinsip Islam juga jelas iaitu ‘bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku’. 

Pendekatan dakwah yang bijaksana dan penuh hikmah adalah pendekatan yang bukan sahaja mampu menyampaikan mesej Islam dengan lebih efektif, tetapi juga dapat mengukuhkan hubungan kewujudan bersama secara aman dengan penganut agama lain.

Kita harus sentiasa berhati-hati dan bijak dalam memilih cara berdakwah agar mesej yang disampaikan tidak menimbulkan salah faham mahupun ketegangan. – The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending