Connect with us

Terkini

Universiti tidak boleh tolak kemasukan pelajar miskin – PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, semua universiti tidak lagi boleh menolak kemasukan mana-mana pelajar miskin hanya kerana mereka tidak mampu membayar yuran pendaftaran pengajian universiti.

Wartawan TMT

Published

on

Universiti tidak boleh tolak kemasukan pelajar miskin – PM
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, semua universiti tidak lagi boleh menolak kemasukan mana-mana pelajar miskin hanya kerana mereka tidak mampu membayar yuran pendaftaran pengajian universiti.
  • Perdana Menteri berkata, arahan berkenaan adalah pertama kali dalam sejarah negara untuk memberi ruang kepada semua pelajar tidak mengira mereka dari keluarga kaya atau miskin atau mengikut kaum sekali pun dihalang daripada melapor diri di mana-mana universiti.
  • Beliau berkata, perkara itu diumumkan menerusi Belanjawan 2024 berhubung yuran bagi tujuan pendaftaran masuk ke universiti awam (UA) dihadkan untuk tidak melebihi RM1,500 bermula Januari 2024.
  • “Jadi saya bagi arahan tidak ada universiti yang boleh menolak mana-mana pelajar miskin, mesti daftar bagi nama dia dan kementerian atau jabatan harus selesaikan. Sementara dasar itu baik kita kena dapat maklumat,” katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan bersama Perdana Menteri, di sini hari ini.

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, semua universiti tidak lagi boleh menolak kemasukan mana-mana pelajar miskin hanya kerana mereka tidak mampu membayar yuran pendaftaran pengajian universiti.

Perdana Menteri berkata, arahan berkenaan adalah pertama kali dalam sejarah negara untuk memberi ruang kepada semua pelajar tidak mengira mereka dari keluarga kaya atau miskin atau mengikut kaum sekali pun dihalang daripada melapor diri di mana-mana universiti.

Beliau berkata, perkara itu diumumkan menerusi Belanjawan 2024 berhubung yuran bagi tujuan pendaftaran masuk ke universiti awam (UA) dihadkan untuk tidak melebihi RM1,500 bermula Januari 2024.

“Yuran universiti, kita beri PTPTN (Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) RM1,500, tetapi ada yuran universiti lain RM1,800, ada keluarga dari Ampang dan dua dari Tambun tak mahu terima pelawaaan ke universiti kerana tak mampu.

“Jadi saya bagi arahan tidak ada universiti yang boleh menolak mana-mana pelajar miskin, mesti daftar bagi nama dia dan kementerian atau jabatan harus selesaikan. Sementara dasar itu baik kita kena dapat maklumat,” katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan bersama Perdana Menteri, di sini hari ini.

Dalam pembentangan Belanjawan 2024 Jumaat lalu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, penyelarasan yuran universiti itu supaya selari dengan nilai pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) oleh PTPTN berjumlah RM1,500 kepada semua bakal pelajar baharu yang layak.

Beliau berkata, langkah itu kerana beliau sama sekali tidak akan mengizinkan, mahasiswa khususnya daripada keluarga susah yang mendapat tempat di universiti awam dihalang atau dinafikan haknya daripada mendaftar hanya kerana tidak mampu melunaskan bayaran yuran kemasukan pengajian. 

Sumber: Utusan Malaysia

Author

Terkini

Perundangan baharu kawal selia penerbitan kalimah ‘Allah’ sedang disediakan – KDN

Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang menyediakan perundangan baharu bagi mengawal selia penerbitan yang mengandungi kalimah “Allah” selaras dengan dasar diputuskan Majlis Raja-Raja.

Hidayah Sani

Published

on

Foto: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
  • Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata penggubalan perundangan baharu itu memerlukan penelitian mendalam dari pelbagai aspek sensitif melibatkan keselamatan negara, ketenteraman awam dan keharmonian agama di Malaysia.
  • “Dalam hal ini, KDN perlu melalui proses-proses libat urus dan kerjasama bersama pihak-pihak ditetapkan termasuk pihak JAKIM, Pihak Berkuasa Negeri-negeri, Kerajaan Negeri-negeri dan AGC dalam menyediakan perundangan baharu yang berkenaan sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) dan Majlis Raja-Raja. 
  • “Tindakan dan proses ini sedang berjalan bagi mendapatkan satu keputusan yang dipersetujui,” katanya menerusi jawapan bertulis di Parlimen pada Isnin.
  • Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan mengapa Kerajaan belum mengumumkan status dan kesan penggunaan terkini mengenai empat kalimah suci orang Islam iaitu lafaz Allah, solat, Kaabah dan Baitullah sedangkan kes melibatkan nama Allah kian meningkat.

KUALA LUMPUR — Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang menyediakan perundangan baharu bagi mengawal selia penerbitan yang mengandungi kalimah “Allah” selaras dengan dasar diputuskan Majlis Raja-Raja.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata penggubalan perundangan baharu itu memerlukan penelitian mendalam dari pelbagai aspek sensitif melibatkan keselamatan negara, ketenteraman awam dan keharmonian agama di Malaysia.

“Dalam hal ini, KDN perlu melalui proses-proses libat urus dan kerjasama bersama pihak-pihak ditetapkan termasuk pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Pihak Berkuasa Negeri-negeri, Kerajaan Negeri-negeri dan Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam menyediakan perundangan baharu yang berkenaan sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) dan Majlis Raja-Raja. 

“Tindakan dan proses ini sedang berjalan bagi mendapatkan satu keputusan yang dipersetujui,” katanya menerusi jawapan bertulis di Parlimen pada Isnin.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan mengapa Kerajaan belum mengumumkan status dan kesan penggunaan terkini mengenai empat kalimah suci orang Islam iaitu lafaz Allah, solat, Kaabah dan Baitullah sedangkan kes melibatkan nama Allah kian meningkat.

Pada 23 Oktober 2023,  media melaporkan garis panduan baharu mengenai Arahan Pentadbiran KDN berkaitan penggunaan kalimah Allah akan diteliti dan diputuskan pada mesyuarat Majlis Raja-Raja pada minggu terbabit.

Saifuddin dilaporkan mengatakan cadangan garis panduan itu sudah dikemukakan kepada MKI selepas selesai lima sesi libat urus diadakan sebelum ini.

Katanya, KDN akan mengambil panduan hasil mesyuarat Majlis Raja-Raja itu untuk mengadakan garis panduan baharu bagi isu penggunaan kalimah Allah.

KDN sebelum ini mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak, termasuk AGC, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, JAKIM, Majlis Profesor Malaysia dan Persatuan-persatuan Peguam Muslim Syarie Malaysia.

Ia susulan KDN dan kerajaan Malaysia pada 15 Mei 2023 dilaporkan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan. 

Memetik BERNAMA, Jill Ireland dilaporkan memohon semakan kehakiman pada 20 Ogos 2008 supaya dikembalikan lapan cakera padat (CD) dengan tajuk mengandungi kalimah ‘Allah’ yang dirampas daripadanya pada 11 Mei 2008 dan perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah itu dalam penerbitan Kristian.

Mahkamah pada 2014 memerintahkan CD itu dipulangkan dan setelah melalui beberapa proses, memutuskan arahan KDN pada 1986 untuk tidak membenarkan penggunaan empat perkataan itu menyalahi undang-undang dan tidak rasional. — The Merdeka Times

Sokong TMT media berani, benar & bebas di https://support.themerdekatimes.com/

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending