Antarabangsa
(VIDEO) Lelaki Muslim terlibat kemalangan motosikal dibelasah hingga maut
Seorang lelaki Muslim berusia 17 tahun maut dibelasah sekumpulan perusuh Hindu setelah terlibat dalam kemalangan motosikal melibatkan seorang Hindu di Rajasthan, Jaipur, India.
Seorang lelaki Muslim berusia 17 tahun maut dibelasah sekumpulan perusuh Hindu setelah terlibat dalam kemalangan motosikal melibatkan seorang Hindu di Rajasthan, Jaipur, India.
Maktoob Media melaporkan Iqbal mengalami kecederaan dalam kemalangan itu, tetapi dibelasah orang ramai setelah namanya diketahui.
Video insiden yang tular di media sosial itu menunjukkan Iqbal dipukul sekumpulan perusuh, termasuk wanita, dengan batang besi dan kayu yang menyumbang kepada kematiannya di tempat kejadian.
Insiden kemalangan itu dikatakan berlaku 29 September lalu, kira-kira jam 10 malam, berhampiran kawasan Gangapol.
Iqbal dibawa ke Hospital Sawai Mansingh untuk diberikan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia di hospital itu.
Keluarga Iqbal mendakwa insiden yang meragut nyawanya itu adalah disebabkan identiti agamanya.
Berikutan insiden pembantaian maut itu, ketegangan tercetus di antara dua komuniti di kawasan Ramganj-Badi Chaupar di Jaipur.
Kedai-kedai Muslim di kawasan itu ditutup sebagai protes. Penduduk dan ahli keluarga marah menuntut keadilan bagi keluarga terbabit.
Setelah selesai bedah siasat, jenazah Iqbal diserahkan kepada keluarga dan saudara maranya dan upacara pengebumiannya diselesaikan petang Sabtu lalu.
Sumber: Maktoob Media